SABAK BERNAM, 19 OKT: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan yang berlaku di daerah Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, kejadian pertama melibatkan seorang peniaga pasar malam berusia 22 tahun di Kilometer 57 Jalan Teluk Intan–Klang, berhampiran Simpang Lima, Sungai Besar, kira-kira jam 4 petang semalam, lapor Berita Harian.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang Yamaha 15Z dari Ampang ke kampungnya di Sungai Limau sebelum melanggar bahagian tepi van Toyota Hiace yang membelok ke kiri. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam kejadian kedua, seorang lelaki berusia 82 tahun meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan akibat kemalangan di Kilometer 72 jalan sama, berhampiran Sekinchan, Rabu lalu.
“Ketika kejadian jam 12.30 tengah hari, mangsa menunggang Honda EX5 dari Sungai Besar dan membuat pusingan U sebelum berlanggar dengan Perodua Myvi dipandu seorang guru tadika berusia 24 tahun. Mangsa disahkan meninggal dunia jam 6 pagi hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.