ad

Malim gunung bukan hanya tunjuk arah, pikul amanah besar, kata persatuan

19 Okt 2025, 3:17 AM
Malim gunung bukan hanya tunjuk arah, pikul amanah besar, kata persatuan

IPOH, 19 Okt: Seorang malim gunung bukan sekadar berperanan sebagai penunjuk arah, sebaliknya memikul amanah besar memastikan keselamatan setiap pendaki sepanjang ekspedisi.

Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM) Muzafar Mohamad berkata malim gunung perlu benar-benar bersedia dari segi kemahiran, fizikal dan mental kerana tugas utama mereka adalah membawa pendaki naik dan turun gunung dengan selamat.

“Tugas seorang malim gunung bukan sekadar membawa peserta dari kaki gunung ke puncak, tetapi memastikan mereka turun semula dengan selamat. Itu yang paling mustahak,” katanya yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai malim gunung ketika ditemui Bernama di sini.

Muzafar berkata sebagai malim gunung, mereka juga perlu cekap mengenal pasti tanda awal peserta yang mengalami masalah fizikal atau mental semasa pendakian bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya malim gunung juga mesti memiliki kemahiran membaca muka bumi, topografi serta asas survival dalam keadaan kecemasan.

“Baik malim gunung atau pendaki, jangan ambil mudah aspek persediaan sebelum memulakan aktiviti mendaki gunung, termasuk latihan fizikal, kelengkapan asas dan pengetahuan kecemasan.

“Kita tidak mahu malim gunung sekadar menjadi penunjuk arah seperti penanda jalan. Mereka sepatutnya mampu berkomunikasi dengan baik, memimpin dengan baik dan mengawal kumpulan dengan berkesan,” tegasnya.

Menyentuh insiden di Gunung Liang baru-baru ini, Muzafar mendakwa kejadian itu berpunca daripada kelemahan dan kegagalan malim gunung menjalankan tugas dengan berkesan walaupun nisbah malim dan pendaki dilihat mencukupi iaitu 10 pendaki, dua malim gunung dan seorang sweeper (pengiring akhir).

“Apabila kejadian ini berlaku, kami melihat ia berpunca daripada kecuaian atau kegagalan malim gunung menjalankan tugas secara efektif. Pada pandangan kami, tragedi itu boleh dielakkan,” katanya.

Mengulas mengenai frasa No One Left Behind, Muzafar menjelaskan ia bukan slogan rasmi mana-mana organisasi, sebaliknya budaya kerja yang diamalkan komuniti malim gunung sejak dahulu.

“Jika ikutkan malim gunung, itulah prinsip awal kami. Moto itu digunakan sejak 2003. Dalam kes Gunung Liang, sweeper adalah malim gunung. Jika benar dia meninggalkan pendaki di belakang, itu satu kesilapan besar,” katanya.

Selain itu, Muzafar berkata sweeper memainkan peranan penting memastikan semua pendaki berada di hadapannya, terutama peserta terakhir dalam ekspedisi.

Katanya dalam sesetengah ekspedisi, sweeper bukan daripada kalangan malim gunung tetapi peserta sendiri yang biasanya memiliki pengalaman, kekuatan fizikal dan kelengkapan mencukupi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Malim Gunung Negeri Perak (PMGPrk) Muhammad Hafizi Mokhtar berkata lambakan malim gunung ketika ini menyebabkan kualiti dan tahap kepimpinan dalam kalangan mereka menurun.

“Untuk menjadi malim gunung, mereka perlu benar-benar bersedia, kena tekadkan dalam diri (persiapan) dari segi kecergasan fizikal, latihan dan disiplin harian amat penting,”katanya.

Muhammad Hafizi turut menegaskan pemilihan malim gunung pada masa depan perlu lebih ketat dengan penekanan kepada aspek kepimpinan dan kemahiran teknikal, bukan sekadar pengalaman mendaki satu atau dua gunung.

Katanya tragedi di Gunung Liang yang turut dikaitkan dengan isu ketiadaan permit melintasi sempadan Pahang dan Perak nyata memberi imej buruk kepada komuniti malim gunung tempatan.

“Terdapat dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) Cawangan Negeri Pahang memasuki sempadan Perak tanpa permit. Sedangkan Jabatan Perhutanan mempunyai perjanjian kolektif dengan negeri bersempadan,” katanya yang berpengalaman 17 tahun sebagai malim gunung.

Beliau berkata Gunung Liang di Tanjung Malim dikategorikan sebagai gunung “moderate to hard” dan hanya sesuai untuk pendaki berpengalaman serta memiliki persiapan fizikal dan mental mencukupi, terutama bagi laluan Trans Semaliang sejauh kira-kira 35 kilometer.

Muhammad Hafizi turut menasihatkan mereka yang mahu menceburi aktiviti pendakian supaya memastikan benar-benar sihat dan membuat persediaan melalui latihan kecergasan terlebih dahulu.

Dalam insiden Gunung Liang, seorang pendaki ditemui meninggal dunia di puncak gunung berkenaan semalam selepas dilaporkan tidak pulang sebaik tamat aktiviti pendakian.

Mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, dilaporkan memulakan pendakian bersama 10 rakan dari arah Bentong, Pahang, pada 10 Okt lepas.