SHAH ALAM, 18 OKT: Sasaran Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk bertanding 23 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada awal bulan depan disifatkan sebagai langkah realistik dan mencerminkan semangat kompromi dalam kerjasama politik, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mazlan Ali.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu berkata pendekatan tersebut menunjukkan kesediaan HARAPAN untuk bekerjasama dengan parti lain bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Madani di negeri berkenaan.
“Sasaran ini wajar kerana ia memberi peluang lebih besar kepada Kerajaan Madani untuk mengekalkan kestabilan dan memperkukuh pengaruh di Sabah.
"Selain itu, kedudukan Kerajaan Madani sebagai Kerajaan Persekutuan juga memberi kelebihan dalam aspek ini,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Mazlan turut menyifatkan kerjasama politik di Sabah sebagai tanda positif ke arah PRN yang lebih harmoni dengan setiap gabungan dijangka mengambil kira kepelbagaian etnik dan demografi politik dalam strategi kempen.
Tambah beliau, rekod pencapaian Kerajaan Madani serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi faktor penting yang mampu menambah keyakinan rakyat Sabah terhadap usaha pembangunan negeri.
Sementara itu, mengulas kes pelajar tingkatan tiga, Zara Qairina Mahathir, Mazlan tidak menolak kemungkinan Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan isu tersebut sebagai bahan kempen menjelang PRN Sabah yang akan diadakan pada 27 November nanti.
Namun, beliau menegaskan Kerajaan Madani telah menunjukkan tanggungjawab serta keprihatinan tinggi dalam menyelesaikan isu tersebut termasuk memastikan siasatan dijalankan secara telus memberi pembelaan sewajarnya kepada mangsa dan keluarga.




