ad

Selangor perkukuh dasar, pastikan rakyat miliki rumah sendiri

21 Okt 2025, 12:00 AM
Selangor perkukuh dasar, pastikan rakyat miliki rumah sendiri
Selangor perkukuh dasar, pastikan rakyat miliki rumah sendiri

Di sebalik tekanan kos sara hidup dan harga hartanah yang terus meningkat, Selangor kekal komited memastikan setiap rakyat mempunyai peluang memiliki rumah sendiri melalui pelbagai dasar dan inisiatif baharu.

Menjelang pembentangan Belanjawan Selangor 2026, tumpuan diberikan kepada tiga teras utama iaitu memperkukuh dasar rumah mampu milik, menyelamat projek terbengkalai dan menambah baik skim penyelenggaraan perumahan sedia ada.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Datuk Borhan Aman Shah berkata, dasar perumahan negeri kini beralih ke fasa lebih fleksibel melalui Rumah Selangorku 3.0 yang menekankan kualiti, bukan jumlah unit semata-mata.

Beliau menjelaskan, dasar itu memberi ruang kepada pemaju melaksanakan projek pada harga antara RM100,000 hingga RM250,000 seunit, dengan kemudahan lengkap seperti dewan komuniti, taman permainan dan ruang rekreasi.

“Kerajaan tidak mahu membina banyak rumah tetapi tidak selesa didiami. Rumah mampu milik di Selangor mesti memenuhi ciri kualiti, keluasan sesuai serta persekitaran yang baik,” katanya.

Setakat ini, 142 projek Rumah Selangorku melibatkan 40,737 unit telah siap, manakala 37 projek lagi dengan 10,348 unit sedang dalam pembinaan.

Dalam masa sama, projek Rumah Idaman yang dilaksanakan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri turut mencatat kemajuan dengan 6,079 unit siap dan 7,755 unit lagi dalam pembinaan.

Selain itu, Skim Smart Sewa diteruskan sebagai pilihan kepada golongan B40 dan M40 yang belum layak mendapatkan pinjaman perumahan.

“Skim Smart Sewa memberi peluang kepada pasangan muda menyesuaikan diri sebelum membeli rumah. Apabila cukup tempoh dan layak pinjaman, deposit mereka sudah ada,” jelas Datuk Borhan.

Selamatkan projek terbengkalai, pulih flat lama

Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada masalah projek terbengkalai yang membebankan ribuan pembeli.

Datuk Borhan menjelaskan, pendekatan diambil bukan untuk menghukum pemaju tetapi mencari jalan penyelesaian bersama agar projek dapat disiapkan segera.

Tahun ini, Selangor menerima RM50.41 juta peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memulihkan enam projek terbengkalai, selain menyalurkan RM18 juta melalui Tabung Baik Pulih Projek Terbengkalai Negeri.

“Ramai pembeli terperangkap kerana projek tertangguh, sebab itu kerajaan negeri menjadi orang tengah antara pemaju, bank dan pembeli bagi memastikan rumah dapat disiapkan semula,” katanya.

Dalam masa sama, Skim Ceria diteruskan bagi menyelenggara flat kos rendah dan rumah pangsa lama yang uzur.

Timbalan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Mohd Hafiz Hassan berkata, sejak 2011, lebih 399 projek dilaksanakan dengan peruntukan melebihi RM152 juta bagi membaiki lif, bumbung bocor dan menaik taraf kemudahan asas.

“Walaupun kecil, baik pulih lif dan tangki air sangat bermakna bagi penghuni. Ia bukan sekadar penyelenggaraan fizikal tetapi membina semula keyakinan terhadap perumahan awam,” katanya.

Dana strata percepat hak milik, kukuh ekonomi

Satu lagi fokus utama kerajaan negeri ialah menyelesaikan isu hak milik strata yang tertangguh, membabitkan ribuan rumah bertingkat di seluruh Selangor.

Masalah ini berlarutan sejak lebih 30 tahun akibat kelewatan dokumentasi dan status tanah yang belum dimuktamadkan.

Datuk Borhan menjelaskan menerusi Dana Strata Selangor, RM10 juta diperuntukkan untuk membantu penyelarasan teknikal dan proses pengeluaran hak milik.

“10 projek strata dikenal pasti menerima manfaat ini termasuk Flat Bunga Raya di Klang, Desa Serdang di Kajang dan Apartment Flora di Hulu Langat yang dijangka selesai menjelang awal 2026.

Sementara itu Mohd Hafiz berkata isu strata bukan hanya menjejaskan pemilik rumah tetapi turut memberi kesan kepada hasil kerajaan tempatan kerana cukai petak tidak dapat dikutip.

“Apabila hak milik diselesaikan, kerajaan negeri juga mendapat hasil melalui cukai dan penilaian harta. Ia bukan semata-mata isu undang-undang, tetapi menyentuh ekonomi bandar secara keseluruhan,” jelasnya.