ad

Program pembangunan usahawan MBPJ manfaat 2,481 peserta, tingkat daya saing

18 Okt 2025, 1:20 AM
Program pembangunan usahawan MBPJ manfaat 2,481 peserta, tingkat daya saing

PETALING JAYA, 18 OKT: Seramai 2,481 peserta dilatih menerusi program pembangunan usahawan anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tahun ini bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka dalam bidang keusahawanan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata melibatkan 25 sesi latihan sepanjang tahun ini, program itu turut mendapat penyertaan peserta dari luar Petaling Jaya termasuk Perak, Terengganu, Langkawi dan Negeri Sembilan.

“Tahun ini seramai 30 usahawan berjaya ke peringkat akhir selepas mengikuti program intensif selama tiga bulan yang mendedahkan usahawan kepada pelbagai aspek pembangunan perniagaan termasuk pengurusan kewangan, perancangan pemasaran dan penggunaan e-invois.

“Penganjuran ini menjadi platform pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang berpotensi tinggi serta mencerminkan aspirasi MBPJ menjadikan Petaling Jaya sebagai hab keusahawanan serantau yang mampan, progresif dan berteknologi tinggi,” katanya.

EXCO Belia  Sukan dan Keusahawan Selangor Mohd Najwan Halimi menyampai kan Anugerah kepada pemenang Nora Ali di Majlis Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2025 pada 17 Oktober di Hotel Sheraton Petaling Jaya.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2025 yang disempurnakan EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi, semalam.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Usahawan Petaling 2021-2030 (Versi 2.0), sebagai panduan utama memperkukuh komuniti usahawan bandar ke kelestarian dan daya saing jangka panjang dengan memperkenalkan pendekatan berimpak tinggi, moden dan berteraskan teknologi digital, selaras dengan perubahan ekonomi semasa.

Pada majlis itu, seramai 10 usahawan menerima Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2025 tertinggi yang diberikan kepada peserta yang menunjukkan keupayaan luar biasa dalam mengembangkan perniagaan melalui inovasi dan strategi yang berkesan.

Pemenang anugerah itu akan menyertai lawatan sambil belajar ke Yiwu, China di sebuah pusat latihan keusahawanan bertaraf antarabangsa yang terkenal dengan kepakaran dalam bidang ekonomi digital, e-dagang dan perdagangan global.

Tiga lagi kategori anugerah adalah Anugerah Peserta Terbaik Program Pembangunan Usahawan Tahap 3 2025, Anugerah Khas Inspirasi Usahawan 2025 dan Anugerah Bazar Ramadan Bahagia dan Lestari 2025.

Nora Ali

Sementara itu penerima Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2025 dan Anugerah Khas Inspirasi Usahawan 2025, Nora Ali, 61, berkata program usahawan anjuran MBPJ membantu perniagaan rojak buahnya untuk terus kekal relevan dalam dunia perniagaan yang sentiasa berkembang.

“Jadi bila kami mengikuti kursus ini, kita lebih dikenali dalam sosial media. Buat TikTok, Facebook. Dulu kami tidak buat, jadi apabila mengikuti kursus ini memang banyak perubahan.

“Usia bukan penghalang kita untuk mengikuti kursus ini. Cuma kita perlu sabar, tabah dan rajin berusaha untuk memajukan perniagaan. Jangan lemah semangat,” katanya.