Warga emas golongan yang amat dihormati dalam Islam. Mereka ialah insan yang telah melalui pelbagai fasa kehidupan, menabur jasa kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Penghormatan terhadap warga emas bukan sekadar nilai budaya tetapi tuntutan agama yang berakar daripada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Menjaga kebajikan mereka bukan pilihan tetapi kewajipan moral dan agama yang menjadi tanda keimanan seseorang.
Kedudukan dalam Islam
Islam melihat warga emas sebagai lambang keberkatan dan sumber doa. Rasulullah SAW bersabda:
“Bukan dari kalangan kami orang yang tidak mengasihi yang muda dan tidak menghormati yang tua.” (Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)
Hadis itu menjelaskan menghormati orang tua termasuk dalam akhlak utama yang mesti diamalkan oleh setiap Muslim. Golongan tua dianggap sebagai simbol pengalaman dan hikmah.
Mereka telah menempuh pelbagai ujian kehidupan yang menjadikan mereka kaya pengetahuan dan pandangan. Oleh itu, Islam menempatkan mereka pada kedudukan mulia dan setiap generasi muda perlu meneladani jasa serta menghargai kehadiran mereka.
Kewajipan anak
Tanggungjawab kebajikan terhadap warga emas bermula di dalam keluarga sendiri, terutama terhadap ibu bapa.
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23–24:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
Ayat itu menegaskan berbuat baik kepada ibu bapa bukan hanya dalam bentuk kata-kata lembut tetapi juga dalam tindakan yang penuh kasih sayang terutama apabila mereka telah lanjut usia.
Ketika mereka tidak lagi mampu berdikari, anak-anaklah yang perlu mengambil alih tanggungjawab menjaga, memberi makan, rawatan dan perhatian.
Dalam konteks moden, cabaran menjaga warga emas semakin kompleks. Ada anak yang sibuk bekerja, tinggal jauh atau tidak berupaya menjaga ibu bapa secara fizikal.
Namun, Islam tidak pernah mengizinkan seseorang mengabaikan ibu bapa dengan alasan kesibukan. Menyediakan penjagaan melalui cara terbaik — sama ada secara langsung atau melalui kemudahan kebajikan — tetap dianggap ibadah jika dilakukan dengan niat yang ikhlas.
Kebajikan sosial
Kebajikan warga emas tidak hanya tanggungjawab keluarga tetapi juga tanggungjawab masyarakat dan negara. Islam menekankan konsep mas’uliyyah ijtima‘iyyah (tanggungjawab sosial) iaitu setiap individu mesti memainkan peranan dalam memastikan golongan tua tidak tersisih. Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang tidak mengasihi orang tua, tidak dihormati oleh yang muda dan tidak mengiktiraf hak orang alim, maka dia bukan dari kalangan kami.” (Riwayat Ahmad)
Ini bermaksud kebajikan warga emas melibatkan semua lapisan masyarakat. Dalam sejarah Islam, institusi baitul mal pernah memainkan peranan penting dalam membantu warga emas yang tidak mempunyai keluarga.

Khalifah Umar bin al-Khattab contohnya, pernah memberi elaun kepada seorang warga emas bukan Islam yang tidak mampu bekerja, menunjukkan betapa Islam menekankan nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengira agama atau bangsa.
Rohani dan emosi
Selain bantuan fizikal, Islam juga menekankan kebajikan dari segi emosi dan spiritual. Warga emas sering berdepan perasaan sunyi, kehilangan pasangan atau berasa diri mereka tidak lagi berguna. Di sinilah peranan anak, cucu dan masyarakat untuk mendampingi mereka dengan kasih sayang.
Rasulullah SAW contoh teladan terbaik. Baginda sangat menghormati orang tua, menyambut mereka dengan mesra dan memberi tempat duduk yang selesa.
Dalam hadis riwayat al-Tirmizi, Baginda bersabda:
“Sesungguhnya termasuk dalam penghormatan kepada Allah ialah menghormati orang tua yang beruban dalam kalangan kaum Muslimin.”
Memberi perhatian, berbicara dengan lembut, mendengar pengalaman mereka dan menziarahi mereka adalah bentuk kebajikan yang besar ganjarannya.
Dalam Islam, menggembirakan hati orang tua adalah sedekah, bahkan termasuk amal yang paling disukai Allah.
Institusi kebajikan
Dalam masyarakat moden, penubuhan rumah kebajikan warga emas sering kali menjadi isu sensitif. Sebahagian masyarakat melihatnya sebagai tanda pengabaian anak terhadap ibu bapa. Namun, dari sudut Islam, hal ini perlu dinilai berdasarkan niat dan keadaan.
Jika penempatan itu bertujuan memberi penjagaan yang lebih baik, bukan kerana ingin melepaskan tanggungjawab, maka ia dibenarkan. Namun, anak-anak mesti terus menziarahi dan memastikan mereka tidak berasa terbuang.
Di samping memainkan peranan dengan menubuhkan pusat jagaan Islamik yang bukan hanya menyediakan penjagaan fizikal, kerajaan dan institusi Islam perlu mengambil kira aspek rohani seperti solat berjemaah, tazkirah dan terapi emosi. Konsep ini bertepatan ajaran Islam yang melihat kebajikan sebagai menyeluruh — meliputi tubuh, jiwa dan maruah insan.
Anugerah
Islam mengangkat martabat warga emas sebagai sumber keberkatan dan doa. Mereka bukan beban masyarakat tetapi anugerah yang perlu dirai. Dalam dunia yang semakin individualistik, ajaran Islam tampil sebagai panduan sejati yang menekankan nilai kasih sayang, penghormatan dan tanggungjawab sosial.
Setiap anak yang menjaga ibu bapa dengan sabar dijanjikan ganjaran syurga. Setiap masyarakat yang memuliakan orang tua akan hidup dalam keberkatan. Dan setiap negara yang menghargai warga emas akan menjadi negara yang berjiwa Islam — berasaskan rahmah, kasih dan keadilan.
Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 14:
“Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; kepada-Ku tempat kembalimu.”
Semoga dengan menghayati ajaran ini, masyarakat Islam terus menegakkan kebajikan kepada warga emas sebagai manifestasi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.




