KUALA LUMPUR, 16 OKT: Sindiket pengedaran dadah kini dikesan mengubah taktik dengan menjadikan bahagian utara negara sebagai laluan baharu selepas pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan dan pemantauan di Pantai Timur.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata sebelum ini, negeri di Pantai Timur menjadi lokasi utama sindiket membawa masuk bahan terlarang itu untuk dipasarkan ke seluruh negara.
Beliau berkata sebahagian sindiket dikesan menggunakan “jalan tikus” bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan rangkaian mereka juga tidak terhad kepada satu kawasan, sebaliknya mempunyai jaringan luas merentasi negeri melibatkan pelbagai pihak.
“Mereka semua ada rangkaian dan bergerak secara bersindiket. Ada yang bekerjasama antara satu sama lain dan ada yang beroperasi solo bergantung kepada persekitaran, keadaan pasaran dan permintaan pelanggan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.
Hussein berkata masih terdapat ruang untuk memperkukuh kawalan di sempadan kerana penyeludupan dadah yang masih berlaku menunjukkan wujud kebocoran di peringkat sempadan, selain penting untuk melumpuhkan aliran kewangan yang menjadi kekuatan sindiket.
Sementara itu, beliau berkata JSJN akan menubuhkan pasukan khas melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memantau kegiatan sindiket menggunakan saluran pos dan kurier untuk mengedar dadah.
“Berdasarkan maklumat, kami percaya bahan terlarang ini dibawa masuk atau keluar tanpa pemantauan atau tapisan, dan banyak dadah dipercayai terlepas melalui saluran ini kerana ada kekangan untuk memantau.
“Pasukan khas yang ditubuhkan ini akan melihat kepada kelompongan itu kerana pembekal perkhidmatan tidak boleh memantau semua memandangkan tidak mempunyai alat pengimbas yang baik seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.
Hussein berkata pembekal perkhidmatan penghantaran juga perlu memainkan peranan dalam usaha mengekang penyeludupan dadah.
Selain itu, beliau berkata JSJN dengan kerjasama kontinjen negeri seperti Kelantan juga akan merobohkan jeti haram bagi menyukarkan pergerakan keluar masuk sindiket dadah di sempadan negara.
“Kita akan tingkatkan risikan menerusi penggunaan teknologi dan kini dalam proses perolehan peralatan yang dapat membantu mengesan dadah,” katanya.


