PETALING JAYA, 16 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM8.72 juta bagi menaik taraf beberapa kemudahan sukan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM3.8 juta digunakan bagi menaik taraf bangunan utama di Kompleks Hoki termasuk padang dan sistem pencahayaan.

“Sebanyak RM2.8 juta lagi diperuntuk bagi menaik taraf trek larian dan tempat teduhan penonton, diikuti gelanggang tenis Kelana Jaya (RM785,000), Kompleks Sukan Arena (RM700,000) serta Kompleks Sukan Astaka (RM615,000),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet MBPJ 2026 di ibu pejabat majlis itu, di sini hari ini.
Menurutnya, Selangor bakal menjadi tuan rumah SUKMA 2026, dengan beberapa acara sukan berlangsung di Petaling Jaya termasuk hoki, tenis, BMX dan skuasy, manakala majlis penutup diadakan di Stadium MBPJ.
Mohamad Zahri berkata MBPJ turut memperuntukkan RM33.6 juta bagi penyediaan kemudahan awam yang menggalakkan gaya hidup sihat dan inklusif untuk penduduk setempat.

Menerusi pembentangan bajet itu, beliau memaklumkan perbelanjaan keseluruhan MBPJ 2026 berjumlah RM521.7 juta, meliputi RM411.2 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM110.5 juta untuk pembangunan.
Jelasnya, bajet tahun hadapan disediakan secara defisit RM25.6 juta atau 5.16 peratus daripada jumlah keseluruhan, berbanding defisit RM1.35 juta (0.28 peratus) pada tahun ini.
“Defisit ini akan ditampung daripada Rezab Tunai MBPJ. Peningkatan perbelanjaan juga berpunca daripada pelaksanaan strategi pembangunan dan pengurusan bagi menyokong aspirasi bandar mampan,” katanya.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan penutup di Stadium MBPJ.
Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.
Selain Petaling Jaya, acara turut berlangsung di 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.





