KUCHING, 15 OKT: Dua warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki wang kertas palsu berjumlah RM138,920 minggu lepas.
Wawan Riduanto, 31, yang bekerja sebagai petani, dan tukang masak, Emi Diansari, 37, didakwa melakukan kesalahan itu di bahu jalan di Jalan Serian-Tebedu, Serian kira-kira 4.45 petang pada 8 Okt lepas.
Mereka didakwa bersama dua lagi iaitu Abang Firdaus Abang Abdul Malek, 29, yang merupakan penduduk tempatan, dan Hendra, 32, dari Indonesia, yang mengaku tidak bersalah.
Keempat-empat tertuduh didakwa memiliki 1,200 keping wang kertas RM100, 240 keping RM50, 296 keping RM20 dan 100 keping RM10.
Hakim Musli Abdul Hamid memerintahkan Emi dan Wawan, yang tidak diwakili peguam, menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 489C dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya P Ruvinasini serta Asmawi Nur Haqim Mokhtar manakala peguam Patrick Voon mewakili Hendra dan Abang Firdaus.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Nov depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan Abang Firdaus diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan manakala Hendra diarah menjalani tahanan reman di penjara.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota daripada Pasukan Gerakan Am Batalion 23 menahan dua lelaki warga asing yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan dan dipercayai baru sahaja memasuki Sarawak melalui sempadan Tebedu-Entikong.
Setelah disoal siasat, mereka memandu arah pasukan keselamatan kepada seorang lagi individu tidak jauh dari lokasi pertama yang membawa kepada penemuan wang kertas palsu berkenaan.
Susulan itu, seorang lagi wanita ditahan berhubung kes tersebut.