Harga emas dan matawang kripto meningkat luar biasa minggu lepas, satu cara pelabur mengurangkan risiko bergantung pada dolar Amerika Syarikat. Logam dan wang digital ini dianggap lebih stabil, tidak terlalu bergantung pada pasaran tradisi, jika kuasa besar itu berhutang lebih banyak dan mencetak lebih banyak wang kertas untuk membayarnya.
Hutang persekutuan Amerika Syarikat berjumlah US$3.7 trilion, sementara nilai dolar merosot 8 peratus sejak awal tahun. Rizab dolar dunia merosot lebih 20 peratus sejak tahun 2000 hingga tinggal 41 peratus tahun ini. Dalam tempoh 25 tahun itu, emas pula meningkat 1,075 peratus
atau kenaikan 10.9 peratus setahun. Bitcoin pula meningkat kepada harga US$126,000 walau merosot sedikit pada 10 Oktober lalu.
Peralihan ini juga disebabkan ekonomi dunia yang tidak menentu susulan perang dagang yang digerakkan kembali Presiden Donald Trump sejak awal tahun ini. Malah, ekonomi tahun depan dijangka lebih perlahan walau, setakat ini, tidak begitu mendadak.
Apa makna perubahan ini, yang menjadi tajuk berita utama dunia? Sebahagiannya angkara politik tidak bijak Amerika Syarikat yang menyebabkan beberapa negara, termasuk sekutu dan rakan dagang, meninggalkan dolar yang selama ini menjadi asas perdagangan dunia. Isu ini dan perang dagang ini dijelaskan dalam buku Dunia Kini Milik China? karya Kishore Mahbubani.

Dikarang hujung penggal pertama pentadbiran Trump (2017-2020), buku ini mengulas dasar negara itu termasuk perang dagang yang wajib kita baca. Ia menjelaskan pelbagai kesilapan asas negara tersebut yang menyebabkan ia makin lemah walau kelihatan garang. Malah, kata bekas diplomat Singapura itu, tindakan Amerika Syarikat itu "kesilapan besar".
"Meskipun kelompok pentadbiran Amerika sangat mendukung pendekatan [perang dagang] Trump terhadap China, tidak ada seorang pun yang menegur bahawa Amerika sedang melakukan kesilapan besar apabila memulakan perlawanan dengan China tanpa membangunkan strategi menyeluruh dan sejagat terlebih dahulu.
"Orang yang memberitahu saya tentang hal tersebut adalah Dr Henry Kissinger, seorang pemikir strategi terhebat di Amerika," kata Mahbubani yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman sebagai diplomat. Beliau merujuk bekas setiausaha negara dan penasihat keselamatan Amerika itu yang dikagumi ramai.
Apabila dolar tidak lagi digunakan dengan meluas, warga negaranya tidak mampu lagi berbelanja lebih daripada kemampuan mereka (berhutang) dan kerajaannya pula tidak berupaya menanggung defisit yang besar. Amerika Syarikat terlupa yang dunia bergantung pada dolar atas kepercayaan dunia bahawa negara itu akan membuat keputusan betul.
"Kepercayaan ini adalah tonggak utama ketahanan dolar Amerika sebagai mata wang rizab global," tulis Mahbubani pada bab 3, Kesilapan Strategik Terbesar Amerika. "Dalam beberapa dekad kebelakangan, kepercayaan [dunia] itu mula terhakis kerana Amerika kadang kala menggunakan keistimewaan memiliki mata wang rizab global sebagai senjata terhadap negara lain."

Amerika Syarikat mengambil langkah yang menjejaskan kepercayaan ini, antaranya menghukum bank yang menggunakan dolar untuk berurus niaga dengan negara-negara yang tidak digemarinya seperti Iran, Sudah dan Cuba. Trump pula berura-ura menurunkan nilai mata wangnya.
Dunia Kini Milik China? mendedahkan "perkara paling berbahaya yang dilakukan presiden ini adalah memberi sebab kukuh kepada negara lain untuk tidak lagi bergantung kepada dolar sebagai rizab mata wang dunia" apabila menarik diri daripada satu pelan tindakan yang sudah lama dipersetujui bersama dengan United Kingdom, Perancis, Jerman, Rusia, China dan Iran.
Trump "telah memaksa negara-negara ini mencari cara alternatif untuk berdagang dengan Iran", kata Mahbubani. Namun gejala itu mungkin tidak berlaku segera walau blok ekonomi baharu seperti BRICS sudah memikirkan untuk tidak menggunakan dolar lagi, sebaliknya meneroka kaedah bayaran blok rantai (blockchain).
Portal berita niaga Business Insider (9 Oktober 2025) mempertahankan kepentingan dolar walau harga emas terus melonjak. Ada dua hujah: "Statistik daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan bank pusat di seluruh dunia masih memegang jumlah besar dolar AS pada akhir suku tahun lepas, walaupun pegangan emas mereka melonjak tahun ini.
"Nilai emas dalam simpanan bank-bank pusat meningkat sebanyak 52 peratus kepada US$4.6 trilion sejak akhir 2024, tetapi bahagian rizab dalam bentuk dolar hampir tidak berubah."
Laporan itu juga menyebut: "Hujah kedua datang daripada Bank Penyelesaian Antarabangsa (BIS). Setakat April, dolar terlibat dalam 89 peratus daripada semua urus niaga pertukaran asing. Ini penting kerana ia menunjukkan betapa besarnya perdagangan menggunakan dolar. Banyak pihak masih boleh berurusan menggunakan dolar dengan mudah, membuktikan kecairan mata wang itu dan kedudukannya sebagai peneraju urus niaga global."
Daripada sembilan bab Dunia Kini Milik China?, termasuk pengenalan dan kesimpulan, empat bab awal daripada 2 hingga 5 sudah cukup membuka mata kita bagi memahami ketegangan dua negara tersebut. Bab 2 dan 3 masing-masing mengupas kesilapan terbesar strategi Amerika Syarikat dan China. Sementara dua bab berikutnya apakah dua negara ini akan lebih agresif atau mampu menahan diri daripada berperang?
Bab 5 dimulakan dengan kebijaksanaan dasar Amerika Syarikat, sebagai peneraju blok pasaran bebas, berdepan Kesatuan Soviet yang tidak demokratik dalam Perang Dingin. Sejak selepas Perang Dunia Kedua, Washington mengambil pendekatan rasional, anjal dan menjimatkan bagi berdepan blok komunis.
Namun, kata Mahbubani, Amerika Syarikat tiba-tiba mengulangi kesilapan blok Timur yang menghabiskan dana untuk perang dan revolusi selepas Kesatuan Soviet berantakan pada dekad 1980-an. "Gantikan perkataan 'Amerika' dengan 'China' dan perkataan 'Kesatuan Soviet' dengan 'Amerika'. Anda akan dapat gambaran betapa berbezanya Amerika berkelakuan dibandingkan dengan strateginya dalam Perang Dingin dahulu."
Namun, kata Mahbubani, China yang berada di blok Timur sudah belajar daripada kesilapan Soviet. Negara itu mengawal perbelanjaan untuk pertahanan tetapi memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, khasnya mulai hujung 1970-an apabila Presiden Deng Xiaoping membuka ekonomi pasaran. Dasar inilah yang membina kekuatan China.
Pendek kata, buku ini membongkar kekuatan dan kelemahan dua kuasa besar ini dengan begitu jelas dan terperinci sehingga pembaca rasa seperti seorang pakar geopolitik sebaik sahaja tamat membacanya. Karya terjemahan Projek Pencerahan Selangor ini, dibantu Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), juga mengupas hubungan dua negara tersebut dengan semua negara penting termasuk rantau ASEAN, Timur Tengah, Eropah dan Afrika.
Semuanya ini disampaikan dengan hujah dan contoh yang kuat lagi meyakinkan. Jelas dan ringkas. Kita seolah-olah ditunjukkan "peta minda", cara berfikir hal-ehwal geopolitik dunia. Terjemahan dan bahasanya lancar, membaca naskhah ini pasti cukup mudah. Setiap halaman memakan masa dua minit sahaja. Tidak sukar.
Pengguna media sosial saat ini sedang berdebat wajar atau tidak Trump diundang ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur antara 26 hingga 28 Oktober ini. Mereka marah sikap kuasa besar itu dalam isu Gaza walau usaha damai sedang dimulakan. Tetapi sebenarnya sebahagian besar jawapan geopolitik sudah ada dalam buku ini.
Kerajaan Selangor sudah membantu menyediakan jawapan itu melalui terjemahan Has China Won? setebal 267 halaman. Tinggal lagi membeli dan membacanya. Malu bertanya sesat jalan, di mana ada kemahuan di situ ada jalannya. Dunia Kini Milik China? menawarkan jalan agar kita tidak tersesat.




