KOTA BHARU, 15 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan terdapat kes pekerja stesen minyak, termasuk juruwang serta ahli keluarga terlibat dalam penyelewengan bahan api bersubsidi di sempadan Malaysia-Thailand.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata kegiatan itu dikesan pada awal tahun ini dan menjadi antara cabaran besar pihak penguat kuasa dalam usaha membanteras penyeludupan bahan api di negeri itu.
“Antara kes yang pernah dikesan, juruwang dan ahli keluarganya sendiri terlibat dalam penyelewengan minyak bersubsidi. Ini antara bentuk cabaran besar bagi kami di lapangan.
"Juruwang di sebuah stesen minyak di Kelantan (berhampiran sempadan negara) bersubahat dengan iparnya sendiri untuk menyeludup keluar petrol bersubsidi dengan memanipulasi sistem meter pam," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azman berkata bagi mengekang kegiatan itu, KPDN menjalankan siasatan serta pemantauan di sembilan stesen minyak terpilih sejak awal tahun sehingga kini, namun pemantauan 24 jam sukar dilakukan kerana kekangan sumber manusia.
Beliau berkata kehadiran ‘tonto’ yang menyalurkan maklumat kepada penyeludup tentang pergerakan pegawai penguat kuasa melalui sistem panggilan atau mesej apabila kawasan dianggap ‘selamat’ turut menjadi faktor penyumbang kepada ketirisan.
“Sempadan negeri Kelantan merangkumi 96 kilometer kawasan sungai dari Pengkalan Kubur di Tumpat hingga ke Jeli, serta 36 kilometer lagi kawasan darat yang dipantau oleh tiga agensi utama, iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin.
“Sepadan kita memang terbuka dan ada tempat jarak antara tebing kedua-dua negara hanya sekitar 10 meter, terutamanya di kawasan pedalaman seperti Jeli dan Rantau Panjang. Pada musim kemarau, sesetengah tempat boleh dilalui dengan berjalan kaki, dan keadaan ini memudahkan kegiatan lintas sempadan,” katanya.
Selain itu, Azman berkata kebanyakan penduduk di kawasan sempadan mempunyai hubungan kekeluargaan termasuk melalui perkahwinan dan hubungan sosial ini menyukarkan lagi usaha pemantauan pergerakan rentas sempadan.
Barangan yang paling kerap diseludup ke Thailand ialah petrol dan minyak masak manakala penyeludupan diesel berkurangan selepas jurang harga antara kedua-dua negara semakin kecil.
Terdapat kira-kira 48 stesen minyak dalam lingkungan 25 kilometer dari sempadan dikenal pasti berisiko tinggi terhadap penyelewengan bahan api, justeru itu kementerian tidak lagi membenarkan pembinaan stesen baharu dalam jarak berkenaan.
Beliau turut mencadangkan supaya sistem kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak disambungkan terus ke KPDN bagi memudahkan pemantauan dan tindakan segera, selain menggesa orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan serta menegaskan bahawa bekalan bahan api dalam negara kekal stabil.