SHAH ALAM, 15 OKT: Pelan pembangunan bandar Klang yang sudah lama termasuk sistem saliran yang tidak efektif dikenal pasti menjadi punca utama berlakunya banjir di kawasan terbabit.
Pemangku pengarah kejuruteraan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkata keadaan geografi yang berubah berbanding fizikal sebelum ini juga turut menjadi cabaran pihaknya mengekang kejadian bah.
“Klang merupakan bandar lama jadi perancangan bandar dan pelaksanaannya dahulu tidak memenuhi keperluan ketika ini. Mungkin dulu belum ada sistem saliran yang sistematik menyebabkan kolam tadahan, perparitan tidak lancar.

“Keadaan geografi juga sudah berbeza. Mungkin sekarang ada berlakunya mendapan di beberapa kawasan menyebabkan ia tak sempurna dan berlakunya banjir.
“Ada beberapa kawasan air bertakung dalam sistem perparitan menyebabkan kandungan air tak dapat ditampung,” kata Ir Mohd Zaidi Zainal, memberi keterangan sebagai saksi ketika sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).
Dipengerusikan Lau Weng San yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), sesi berlangsung di Wisma DNS itu mengutarakan perkembangan terkini usaha menangani masalah banjir di Klang.

Sementara itu, Zaidi berkata sejumlah RM127 juta diperuntuk mulai tahun depan hingga 2030 bagi mengurus dan menangani isu banjir di bandar raya berkenaan.
Angka berkenaan meliputi kos kerja menaik taraf beberapa sistem saliran projek tebaran banjir melibatkan banyak kawasan selain pembinaan sistem amaran banjir dan proses akan berjalan secara berfasa.
Pada 3 Oktober, Weng San berkata isu dibawa Selcat ini bertujuan menyiasat punca sebenar kejadian banjir yang berulang di Klang serta menilai peranan Jabatan Pengairan dan Saliran dalam usaha mengatasinya.
Sesi ini juga membincangkan peranan Pejabat Tanah dan Daerah, khususnya dalam aspek bantuan banjir, pengurusan pusat pemindahan sementara, penyediaan bot penyelamat, aset dan aspek lain berkaitan kesiapsiagaan serta tindak balas bencana.