SHAH ALAM, 15 OKT: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Selangor terserlah menerusi Program Perasmian Pintu Gerbang Deepavali di Jalan Tengku Kelana atau lebih dikenali sebagai Little India, Klang.
EXCO Hal Ehwal Minoriti & Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme berkata program anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Isnin lalu memperlihatkan semangat saling menghormati masyarakat pelbagai kaum.
"Kemeriahan suasana di Jalan Tengku Kelana malam ini benar-benar mencerminkan semangat Kita Selangor yang mana rakyat daripada pelbagai latar belakang berkumpul meraikan kegembiraan bersama dalam suasana penuh warna-warni dan muhibah,” kata V Papparaidu di Facebook.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain, Ahli Majlis serta warga kerja MBDK yang sentiasa komited memperindahkan wajah bandar Klang melalui pelbagai inisiatif kebudayaan serta sosial.
“Saya amat menghargai usaha MBDK yang bukan sahaja mempercantikkan kawasan bandar, tetapi memperkukuh nilai perpaduan yang menjadi asas kepada pembangunan masyarakat sejahtera dan inklusif di Selangor,” ujarnya.

Jelas Papparaidu lagi, sambutan Deepavali bukan sekadar pesta cahaya, sebaliknya wadah untuk memperkukuh nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.
"Semoga cahaya Deepavali terus menerangi hati dan kehidupan kita semua dengan keamanan, kemakmuran dan kebahagiaan yang berkekalan," katanya.