ad

Belanjawan 2026 dirangka berteraskan realiti semasa, bukan teori ekonomi - Anwar

15 Okt 2025, 3:43 AM
Belanjawan 2026 dirangka berteraskan realiti semasa, bukan teori ekonomi - Anwar

PUTRAJAYA, 15 OKT: Belanjawan 2026 dirangka berasaskan realiti ekonomi semasa dan bukan semata-mata berpandukan teori ekonomi, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan pengurusan fiskal negara kekal berhemah serta berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, berkata pendekatan belanjawan ketika ini tidak boleh disamakan dengan era 1990-an apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan pesat antara 10 hingga 11 peratus dengan kadar defisit yang rendah.

“Kerangka belanjawan tidak boleh lari daripada realiti ekonomi yang sedang kita hadapi. Kadang-kadang, kalau kita hanya dengar pandangan ahli akademik atau pakar teori, mereka berikan kerangka umum, tetapi kita perlu tahu keadaan hutang, defisit dan hasil negara terlebih dahulu sebelum boleh mewujudkan keseimbangan.

“Ia berbeza dengan situasi pada 1990-an. Jadi, tentunya pendekatannya juga berbeza. Kita mewarisi hutang yang membengkak dan defisit yang tinggi. Semua ini perlu diteliti terlebih dahulu sebelum kita merangka satu kerangka belanjawan yang sesuai dengan tuntutan semasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Anwar berkata tumpuan utama kerajaan sejak beliau memegang jawatan adalah memperkukuh tatakelola dan integriti pentadbiran, memandangkan isu ketirisan serta rasuah telah menjadi masalah sistemik sejak sekian lama.

Perdana Menteri berkata hasil penguatkuasaan dan tatakelola yang baik oleh agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membolehkan kerajaan memperoleh semula RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun menerusi hasil rampasan, kutipan cukai tertunggak serta usaha membanteras penyeludupan rokok, arak dan sindiket penipuan dalam talian.

“Ini bukan hasil cukai baharu, tetapi hasil daripada tatakelola yang tegas dan penguatkuasaan yang bersih. Kalau hasil sudah meningkat kerana kita hentikan ketirisan dan rasuah, mengapa perlu bebankan rakyat dengan cukai tambahan,” katanya.

Beliau berkata dasar fiskal kerajaan ketika ini berasaskan keseimbangan antara usaha mengurangkan defisit serta hutang negara dengan memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Kita berjaya menurunkan defisit daripada 5.6 kepada 3.8 peratus. Itu satu langkah besar. Tapi kalau terlalu drastik, ia mungkin indah dari segi teori ekonomi, tetapi parah untuk rakyat. Jadi kita mesti ada perimbangan,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada warga Kementerian Kewangan atas komitmen luar biasa mereka dalam menyediakan Belanjawan 2026, yang disifatkannya sebagai hasil kerja keras, semangat dan keikhlasan tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Mungkin sudah hampir 10 kali saya bentang belanjawan sejak 1991 hingga kini, dan banyak yang saya pelajari.

“Tapi satu perkara yang saya anggap sangat mengesankan, kadang-kadang tidak diketahui oleh khalayak umum bahawa dalam persiapan itu bagaimana ratusan tenaga, berpangkalan di kementerian, bekerja sungguh-sungguh, dengan penuh minat, ikhlas, sampai lewat malam dan jadikan ini sebagai tugas yang lebih daripada tugas penjawat awam biasa, penuh komitmen, iltizam dan keikhlasan.

“Sepanjang tempoh sebulan, dua minggu, seminggu sebelum belanjawan, komitmen keluarga perbendaharaan amat luar biasa. Jadi sekali lagi saya ucapkan Jazakumullahu Khairan, terima kasih dan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua warga Kementerian Kewangan,” katanya.

-- BERNAMA