ad

Kes tikam di sekolah: Ketua polis Selangor adakan sidang media khas pagi ini

15 Okt 2025, 12:04 AM
Kes tikam di sekolah: Ketua polis Selangor adakan sidang media khas pagi ini

SHAH ALAM, 15 OKT: Pihak polis dijadual mengadakan sidang media khas mengenai perkembangan siasatan kes seorang pelajar perempuan maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, pada jam 11.30 pagi ini.

Sidang media oleh Ketua Polis Selangor Dato’ Shazeli Kahar akan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam itu berlaku di dalam kawasan sekolah. Setakat ini motif utama kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Suspek yang berumur 14 tahun dikatakan membawa senjata tajam iaitu pisau, sebelum menikam mangsa.

Apa yang terjadi?

Kira-kira jam 9.10 pagi semalam, seorang pelajar berusia 14 tahun telah mengepung seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam tandas sekolah.

Pelajar lelaki itu kemudian menarik mangsa masuk ke dalam salah satu bilik tandas sebelum menikamnya beberapa kali menggunakan dua senjata tajam. Mangsa menjerit meminta pertolongan ketika dia ditikam.

Beberapa orang guru bergegas ke lokasi kejadian selepas mendengar jeritan mangsa dan mendapati pintu bilik tandas berkenaan terkunci.

Setelah pintu dipecahkan, mereka menemui pelajar perempuan itu dalam keadaan berlumuran darah.

Pelajar lelaki tersebut bagaimanapun sempat melarikan diri dari tempat kejadian.

Suspek kemudiannya memasuki beberapa bilik darjah dalam keadaan gelisah dan tidak terkawal, sambil mengugut pelajar-pelajar lain, namun tidak mencederakan sesiapa sebelum beredar.

Guru-guru berjaya menenangkan pelajar lelaki berkenaan, sementara abangnya bertindak merampas senjata daripada tangan suspek.

Tidak lama kemudian, pegawai perubatan mengesahkan pelajar perempuan tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Pihak polis kemudian menahan suspek dan merampas kedua-dua senjata yang digunakan dalam kejadian itu.