KUALA LUMPUR, 14 OKT: Skuad Harimau Malaya terus mendominasi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 apabila membelasah Laos 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, malam ini.
Kemenangan itu adalah yang keempat untuk mengekalkan rekod bersih dengan kini mengumpul 12 mata maksimum dan kekal berada di tangga pertama kumpulan, sekali gus semakin hampir ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027 nanti.
Begitupun kejayaan yang dilakar itu bukan mudah apabila anak buah Peter Cklamovski terpaksa bangkit daripada ketinggalan dengan Faisal Halim membawa impak berkesan khususnya di babak kedua.
Sebaik wisel perlawanan ditiupkan, tuan rumah tidak menunggu lama apabila memberi amaran awal menerusi rembatan deras Romel Morales di minit keempat yang berjaya ditepis Kop Lokphathip, lapor Harian Metro.
Enam minit kemudian giliran ketua pasukan negara, Dion Cools yang mengambil sepakan percuma tetapi sekali lagi dihalang Lokphathip.