SHAH ALAM, 14 OKT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyita pelbagai peralatan membaiki kenderaan dan mengeluarkan tujuh kompaun terhadap premis yang beroperasi tanpa lesen di kawasan Bandar Bukit Tinggi 2 di sini, semalam.
Pemangku Pengarah Pelesenan MBDK Mohd Izzat Mokhtar berkata tindakan itu hasil pemeriksaan terhadap 29 premis kedai di Jalan Batu Nilam 34/4 bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat perlesenan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis tidak mempunyai lesen perniagaan sah yang dikeluarkan pihak majlis, manakala 16 premis lagi tidak beroperasi atau kosong.
“Empat kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan menjalankan aktiviti tanpa lesen, masing-masing bernilai RM1,000 bagi setiap kesalahan, selain RM250 kepada premis yang meletakkan barang perniagaan di tempat awam,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.
Mohd Izzat berkata, pihaknya turut menyita peralatan membaiki kenderaan bernilai kira-kira RM5,000 daripada tiga bengkel haram yang beroperasi di kawasan sama.
Beliau menegaskan, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang dan memperoleh lesen sah sebelum menjalankan aktiviti perniagaan.
“MBDK akan terus melaksanakan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan komersial di bawah pentadbiran MBDK bebas daripada aktiviti perniagaan tidak berlesen,” katanya.