ad

PGA tumpas sindiket seludup migran, serbu lima lokasi di Selangor

14 Okt 2025, 3:00 AM
PGA tumpas sindiket seludup migran, serbu lima lokasi di Selangor
PGA tumpas sindiket seludup migran, serbu lima lokasi di Selangor

KUALA LANGAT, 14 OKT: Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan penyeludupan migran selepas menahan 18 individu menerusi enam serbuan khas, Jumaat lalu.

Komander Briged Tengah PGA, SAC Hakemal Hawari berkata, serbuan tersebut adalah hasil tindakan susulan insiden rempuhan sekatan jalan raya oleh empat kenderaan di Pulau Carey pada 28 Julai lalu.

"Hasil tangkapan ini kita serahkan kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut untuk mengesan saki baki kumpulan ini yang kita percaya yang masih lagi ada,” katanya pada sidang media di Markas Briged Tengah Polis Gerakan Am Cheras di sini, semalam.

Menurut beliau, serbuan melibatkan beberapa lokasi iaitu Pulau Carey, Telok Panglima Garang, Jalan Semenyih Kajang, Rawang dan kawasan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, selain Kampung Bemban di Melaka.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas lima kenderaan termasuk empat pacuan empat roda.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai khususnya penduduk sekitar Kuala Langat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau pergerakan mencurigakan kepada PGA atau IPD terdekat bagi membantu siasatan.

Tahun ini, jumlah kes membabitkan Akta AntiPemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan (ATIPSOM) di bawah kendalian Briged Tengah PGA membabitkan 10 warganegara, tiga Bangladesh dan 24 Indonesia.

Manakala tangkapan pendatang asing tanpa izin pula seramai 774 orang membabitkan Myanmar (77), Bangladesh (66), Indonesia (628) dan Nepal (3).