KUALA LUMPUR, 14 OKT: Pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung konflik Palestin-Israel, antara tumpuan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bertanyakan Perdana Menteri sejauh mana pelan damai itu selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin serta kedaulatan negara berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus persidangan bermula pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menanyakan Perdana Menteri berhubung tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, khususnya dari segi promosi antarabangsa, penglibatan kerajaan negeri, serta sama ada perbelanjaan dibuat berasaskan prinsip value for money.
Turut menarik perhatian, soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) kepada Menteri Kewangan berhubung pendirian kerajaan terhadap keberkesanan pelaksanaan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam membantu golongan B40 serta isu laporan kelewatan sebahagian penerima di luar bandar pada sesi soal jawab lisan.
Usai sesi soal jawab lisan, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi hari kedua pada Peringkat Dasar.
Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan Peringkat Dasar diadakan selama lapan hari bermula semalam hingga 28 Okt ini, manakala perbahasan Peringkat Jawatankuasa bermula 5 hingga 27 Nov.