SHAH ALAM, 13 OKT: Lebih 90,779 permohonan pembiayaan bernilai RM21.5 bilion diluluskan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu golongan B40 dan M40 memiliki rumah, setakat ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, daripada jumlah itu, 89.56 peratus penerima terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.
Beliau memaklumkan, jumlah itu termasuk 15,000 peminjam berumur 18 hingga 25 tahun, kira-kira 31,000 peminjam (26 hingga 30 tahun), 22,356 peminjam (31 hingga 35 tahun) dan 12,799 peminjam (36 hingga 40 tahun).
“Kalau melihat kepada Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, terdapat kelulusan tambahan untuk SJKP berjumlah RM20 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Madani. Ini merupakan berita gembira untuk rakyat apabila Belanjawan ini diluluskan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof yang ingin mengetahui inisiatif kerajaan membantu individu tanpa pendapatan tetap seperti pekerja gig memiliki rumah sendiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 Jumaat lalu mengumumkan peluasan SJKP bagi menawarkan jaminan kepada 80,000 lagi pembeli rumah pertama, selain meningkatkan had keseluruhan jaminan kepada RM20 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah termasuk skim sewa beli untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).