ad

Kerajaan pertimbang gubal akta antibuli berasingan kanak-kanak, dewasa

13 Okt 2025, 8:23 AM
Kerajaan pertimbang gubal akta antibuli berasingan kanak-kanak, dewasa

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kerajaan sedang mempertimbang langkah untuk memperkenal undang-undang berasingan bagi menangani isu buli dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata Jemaah Menteri akan menentukan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli yang dicadangkan perlu dibahagikan kepada dua rangka kerja iaitu satu untuk individu di bawah umur 18 tahun dan satu lagi untuk orang dewasa bagi memastikan pendekatan lebih sesuai mengikut konteks kumpulan umur masing-masing.

“Ramai yang bertanya sama ada kita wajar mempunyai satu undang-undang untuk semua atau berasingan mengikut kumpulan umur. Kabinet perlu memutuskan perkara ini dan saya akan bentangkan kelebihan serta kekurangannya.

“Jawatankuasa Teknikal akan meneruskan sesi libat urus di seluruh Pantai Timur serta di Sabah dan Sarawak untuk memperhalusi rang undang-undang itu,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator forum Nation Building and Future Resilience: Youth and Bullying, yang diakankan sempena Sidang Kemuncak Pemmpin Muda Antarabangsa (iFuture) 2025 di sini hari ini.

Azalina berkata RUU itu akan membolehkan penubuhan sebuah Tribunal Antibuli yang bertujuan menyediakan saluran alternatif kepada mangsa, terutama mereka yang tidak berpuas hati dengan prosedur yang dijalankan oleh pihak berkuasa termasuk sekolah.

Beliau berkata cadangan itu sedang diteliti memandangkan skop pelaksanaannya adalah besar kerana membabitkan lebih 10,000 sekolah dan 5.1 juta pelajar di seluruh negara.

Menyentuh mengenai tribunal yang dicadangkan, Azalina berkata ia akan mempercepat prosedur siasatan kerana ia tidak tertakluk kepada kes jenayah lain yang dikendalikan oleh polis.

Beliau berkata pihaknya sedang meneliti pelaksanaan satu mekanisme separa kehakiman iaitu sebuah platform khusus seakan-akan mahkamah yang dapat berfungsi dengan lebih pantas dan tertutup melalui proses pengantaraan atau tindakan bersifat hukuman.

Kerajaan juga, katanya, bercadang memperkenal takrifan undang-undang yang lebih jelas berkaitan perbuatan buli merangkumi penderaan secara fizikal, lisan, emosional, sosial dan siber.

“Rang undang-undang ini akan membolehkan semua mangsa atau wakil mereka berkomunikasi secara langsung dengan tribunal sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan pihak sekolah. Secara asasnya, tribunal ini berperanan untuk mencari penyelesaian.

“Bagaimanapun, dalam konteks semasa, bagi individu berumur 18 tahun ke atas, perkara itu akan dinilai secara berbeza iaitu sama ada ia masih dianggap sebagai kesalahan jenayah atau sebaliknya.

"Kesemua aspek ini akan dibincang di peringkat Jemaah Menteri,” katanya.

Azalina berkata matlamat kerajaan adalah bagi memastikan Tribunal Antibuli berperanan sebagai pelengkap berbanding pengganti kepada sistem sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sekali gus mengisi kelompongan yang wujud serta memastikan keseragaman dalam pengendalian kes.

Selain itu, beliau berkata rang undang-undang tersebut akan turut memperluas perlindungan kepada kanak-kanak bawah umur yang tidak mengikuti pendidikan formal bagi menjamin akses kepada keadilan untuk semua individu di bawah usia 18 tahun tanpa mengira status pendidikan mereka.