SHAH ALAM, 13 OKT: Empat pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka dibuang sekolah serta-merta selepas disyaki terbabit dalam kes salah laku seksual dengan pelajar tingkatan tiga.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata keputusan itu dibuat oleh Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang hari ini, lapor Harian Metro.
“Lembaga Tatatertib Sekolah telah menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap semua suspek yang terlibat,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya.
Beliau berkata, kesemua pelajar berkenaan tidak akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah sama, sebaliknya di pusat tahanan atau lokasi khas yang ditetapkan.
Katanya, pelajar terbabit masih berhak menduduki peperiksaan SPM dan urusan pelaksanaannya akan diselia Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Identiti mereka akan dirahsiakan dan pengurusan peperiksaan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM),” jelasnya.
Menurut Mohd Azam, pelajar yang dibuang sekolah boleh memohon untuk bersekolah semula di institusi lain, namun bukan di sekolah asal.
Beliau menegaskan bahawa kebenaran menduduki peperiksaan tidak bermakna mereka terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Prinsip kami di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jelas, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah di mahkamah,” katanya.