KUALA LUMPUR, 13 OKT: Ketua Jurulatih Kebangsaan Peter Cklamovski berkata beliau tidak berniat untuk tidak menghormati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), susulan kritikan terhadap kenyataannya baru-baru ini yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat dan bekas pemain.
Jurulatih dari Australia itu berkata kenyataannya itu berdasarkan kepada kenyataan rasmi FAM sendiri dan mungkin ia telah disalah tafsir.
Bagaimanapun, Cklamovski memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung.
“Saya langsung tidak berniat untuk tidak menghormati FAM. Malah, saya tidak mengatakan apa-apa yang berbeza daripada apa yang mereka sendiri nyatakan. Mereka mengeluarkan kenyataan media minggu lepas dan saya hanya merujuk kepada itu. Saya tidak tahu apa-apa selain daripada kenyataan tersebut. Jadi, kenyataan saya bukan bertujuan untuk tidak menghormati FAM.
“Jika ada yang merasakan saya tidak menghormati FAM, saya memohon maaf, tetapi itu bukan niat saya dan saya tentunya tidak mengatakan apa-apa yang lain,” katanya pada sidang media praperlawanan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Laos, di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Baru-baru ini, Cklamovski menarik perhatian berikutan kenyataannya mengenai isu antara Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berhubung masalah pendaftaran melibatkan tujuh pemain warisan negara.
Kenyataan itu, yang dibuat semasa sidang media selepas perlawanan menentang Laos di Vientiane pada Khamis lepas, dianggap oleh sesetengah pihak seolah-olah menyalahkan FAM terhadap isu berkenaan, sekali gus menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan peminat dan bekas pemain.
Walaupun berdepan kontroversi tersebut, Cklamovski menegaskan fokus utamanya sentiasa tertumpu kepada usaha mempersiapkan skuad Harimau Malaya agar dapat beraksi pada tahap terbaik, dan bukannya terhadap hal-hal pentadbiran.
“Kami langsung tidak memikirkannya. Fokus kami ialah tugas sebagai pasukan kebangsaan untuk berlatih bersungguh-sungguh, bermain dengan baik dan meraih kemenangan. Itulah perkara yang berada dalam kawalan saya,” kata jurulatih berusia 47 tahun itu, sambil mengulangi bahawa Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, memainkan peranan penting dalam kemajuan pasukan kebangsaan.
Apabila ditanya tentang kesukaran membentuk pasukan tanpa tujuh pemain warisan yang digantung oleh FIFA, beliau berkata skuad kebangsaan perlu sentiasa mengekalkan semangat berpasukan tidak kira siapa yang diturunkan.
“Kami tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja. Itulah fokus kami dan saya akan terus mengatakannya, kerana itulah cara kami berlatih. Itulah keyakinan kami terhadap diri sendiri. Siapa pun yang berada di atas padang, kesemua 11 pemain tahu peranan masing-masing, dan akan melaksanakannya dengan baik, dan sesiapa yang masuk menggantikan juga akan melakukan perkara yang sama,” katanya.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, selepas didapati melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam satu kenyataan, FIFA memaklumkan bahawa FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan, yang membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Sementara itu, mengenai perlawanan malam esok, Cklamovski berkata tumpuan pasukannya kekal untuk mengekalkan momentum cemerlang, selepas menewaskan lawan yang sama 3-0 dalam perlawanan sebelum ini.
“Kami telah membuat persiapan rapi dan masih ada satu lagi sesi latihan untuk memastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik. Proses ini akan diteruskan dan kami berhasrat untuk memberikan satu lagi aksi berpasukan yang mantap, berusaha gigih untuk meraih satu lagi kemenangan dan membuat rakyat Malaysia berbangga,” katanya.
Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahului Kumpulan F dengan sembilan mata, diikuti Vietnam di tempat kedua dengan enam mata, Laos di tempat ketiga dengan tiga mata, manakala Nepal pada kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.