KLANG, 19 Okt: Setiap kali menjelang Deepavali, rumah seorang pesara berusia 65 tahun di Taman Sri Andalas ini menjadi tumpuan ahli keluarga dan jiran tetangga — bukan sahaja kerana kemeriahan sambutannya, tetapi kerana bau harum muruku tradisional yang menyapa dari jauh.
Itulah rumah Rageswary Palaney, yang setiap tahun mengekalkan tradisi membuat muruku warisan turun-temurun. Baginya, perayaan cahaya itu bukan sekadar sambutan keagamaan, tetapi lambang kasih sayang yang menyatukan keluarga.
“Sejak kecil saya suka membantu nenek menguli doh muruku. Saya masih teringat bau harum dan gelak tawa ketika kami membuatnya bersama. Ia bukan sekadar makanan, tetapi kenangan indah yang saya simpan hingga kini,” katanya sambil tersenyum.

Apa yang bermula sebagai permainan zaman kanak-kanak kini menjadi sumber pendapatan kecil untuknya. Rageswary masih mengekalkan cara tradisional, bermula dengan merendam beras, menjemur, mengisar, memanggang kacang dhal dan mencampur semuanya secara manual sebelum menguli doh.
“Saya masih ke kilang untuk mengisar tepung. Sukatan mentega, garam dan air mesti tepat. Hanya dengan itu muruku akan rangup dan sempurna,” ujarnya bangga.
Menjelang Deepavali, rumahnya bertukar menjadi seperti kilang kecil.
“Anak-anak dan cucu-cucu semua akan datang membantu. Ada yang menguli doh, ada yang memicit, ada yang menggoreng. Rumah akan dipenuhi dengan bau muruku, suara ketawa dan perbualan kami. Itulah erti sebenar Deepavali bagi keluarga kami,” katanya.

Beliau turut berkongsi satu kenangan lucu yang masih segar di ingatan.
“Suatu ketika dahulu, ibu terlupa memasukkan bijan dalam adunan. Hanya selepas ayah bertanya, barulah kami sedar. Sejak itu, saya pastikan semua bahan disediakan lebih awal,” katanya sambil ketawa kecil.
Bagi Rageswary, membuat muruku bukan kerja mudah, ia satu seni yang menuntut kesabaran dan ketelitian.
“Kalau minyak tidak cukup panas, muruku tidak akan rangup. Itu beza antara murukku buatan kedai dengan yang dibuat di rumah. Bila dibuat sendiri, ia penuh dengan kasih sayang,” jelasnya.
Baginya, setiap kali menggoreng muruku, beliau seolah-olah mengulang detik yang menghubungkan tiga generasi.
“Sekarang cucu-cucu saya pun sudah pandai membuat muruku. Seperti saya belajar daripada nenek dahulu, mereka pula belajar daripada saya. Inilah warisan yang saya mahu kekalkan,” katanya bangga.
Namun, beliau mengakui sedikit bimbang apabila melihat generasi muda semakin melupakan amalan tradisional.
“Kita sendiri perlu menjaga warisan kita. Selagi orang tua masih ada, anak muda perlu belajar daripada mereka."
Di rumah yang harum dengan bau muruku itu, terserlah keindahan sebenar Deepavali, sebuah perayaan yang menyatukan generasi melalui tradisi, kasih sayang dan rasa syukur yang tidak pernah padam.