HAMILTON, Kanada, 13 OKT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad melaporkan kemajuan ketara dalam operasi kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza, dengan menyatakan bahawa “usaha meningkatkan bantuan kemanusiaan di Gaza kini berjalan lancar – dan hari ini menunjukkan kemajuan sebenar,” lapor Anadolu Ajansi.
“Buat kali pertama sejak Mac lalu, gas memasak berjaya dibawa masuk ke Gaza,” kata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa “lebih banyak khemah untuk keluarga pelarian, daging beku, buah-buahan segar, tepung dan ubat-ubatan turut dibawa masuk sepanjang hari.”
Agensi itu turut memaklumkan bahawa PBB dan rakan kongsinya telah “mengagihkan ratusan ribu hidangan panas dan roti – di kawasan selatan dan utara Gaza.”
Dengan kelonggaran sekatan pergerakan dan akses, OCHA berkata pihaknya kini dapat “menempatkan bekalan perubatan dan kecemasan di lokasi yang paling memerlukan, menilai jalan utama bagi mengenal pasti risiko bahan letupan, serta membantu keluarga pelarian di kawasan mudah banjir untuk bersiap menghadapi musim sejuk.”
OCHA juga mengumumkan bahawa “kelulusan tambahan daripada Israel bagi membolehkan lebih banyak bantuan dihantar” telah diperoleh, menjadikan jumlah bantuan yang diluluskan sebanyak “190,000 tan metrik,” termasuk makanan, barangan tempat perlindungan dan ubat-ubatan.
“Ini hanyalah permulaan,” kata agensi itu, sambil berikrar untuk memperluas penghantaran bantuan “kepada hampir semua penduduk Gaza.”
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan 20 perkara beliau bagi mencapai gencatan senjata di Gaza.
Pelan itu merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza. Fasa pertama berkuat kuasa pada Jumaat.