SHAH ALAM, 13 OKT: Jabatan Belia Sukan Selangor menganjurkan Klinik Pickleball di Kompleks Belia dan Sukan bagi menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara.
Pengarahnya Syamsul Tahrin Mohd Tahir berkata pemilihan sukan pickleball bertujuan memberi pendedahan sukan tersebut kepada masyarakat tanpa mengira peringkat umur.
“Peserta berpeluang bermain pickleball dengan dibimbing enam jurulatih selain didedahkan dengan peraturan selain diajar teknik bermain dengan betul.
“Ratusan peserta menyertai sukan yang semakin mendapat perhatian umum terdiri daripada pelbagai peringkat umur iaitu pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan golongan veteran.

“Bukan itu sahaja, penganjuran program ini juga seiring dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang kini mengangkat sukan pickleball selain mahu masyarakat kekal aktif,” katanya pada program tersebut.
Sebelum ini, menerusi Belanjawan 2025, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah RM1 juta diperuntuk menganjurkan pesta pickleball merangkumi kejohanan terbuka dan pertandingan di sekolah.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bertujuan meningkatkan minat dalam kalangan orang muda serta melahirkan bakat baharu di samping pihak berkuasa tempatan juga akan menyedia fasiliti gelanggang pickleball.
Dalam pada itu, tambah Syamsul Tahrin pihaknya menyasarkan penganjuran klinik pickleball yang bermula jam 9 pagi itu mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).
“Kita akan menghantar dokumen diperlukan untuk diteliti pihak MBOR kerana sasaran adalah menganjurkan klinik pickleball paling ramai,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nordin Nor, 52, berkata beliau hadir ke klinik pickleball bertujuan membawa anak untuk mencuba sukan yang semakin mendapat perhatian ramai.
“Ini merupakan kali pertama saya mencuba dan sangat menarik selain anak juga berminat kerana program ini mempunyai jurulatih yang mengajar bagaimana teknik bermain dengan betul.
“Anak mula meminatinya dan mungkin selepas ini boleh beli set pickleball terlebih dahulu, belajar timbang bola serta biasakan diri,” ujarnya.
