SHAH ALAM, 12 OKT: Beberapa penunggang motosikal sanggup melawan arus demi mengelak ditahan dalam operasi besar-besaran di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Plaza Tol Bukit Raja, awal pagi tadi.
Memetik laporan Sinar Harian, operasi bersepadu bermula jam 10 malam itu melibatkan 112 anggota pelbagai agensi hasil risikan terhadap aktiviti lumba haram dan aksi berbahaya di kawasan berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata polis menutup kedua-dua arah laluan sekitar jam 2.30 pagi bagi mengepung kumpulan penunggang terbabit.
“Sebanyak 420 motosikal diperiksa dan 58 disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk tiada lesen, pengubahsuaian kenderaan serta cukai jalan tamat tempoh.
“Sebanyak 568 saman dikeluarkan, manakala tujuh penunggang dibawa ke Balai Trafik IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki terlibat dalam perlumbaan haram di antara Kilometer 0.1 hingga 0.9 Lebuhraya NKVE,” katanya.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjadikan lebuh raya sebagai litar lumba dan operasi seumpamanya akan diteruskan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.
Dalam operasi sama, Sinar Harian turut melaporkan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun antara yang ditahan selepas melakukan aksi berbahaya di lebuh raya berkenaan.
Remaja yang masih bersekolah itu mengaku mengambil motosikal milik ibunya tanpa pengetahuan wanita berkenaan sebelum ke lokasi bersama rakan.
“Suasana bising deruman enjin motosikal serta sorakan rakan-rakan membuatkan saya teruja hingga lupa akan risiko yang menanti. Saya menyesal sangat, tak tahu nak beritahu ibu macam mana, takut dia marah bila tahu saya ditahan,” katanya.
Mohd Rozi berkata, kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan golongan muda melakukan aksi berbahaya walaupun beberapa operasi dijalankan sebelum ini.
“Masih ramai yang tidak serik. Ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap pergerakan anak masing-masing dan tidak membenarkan mereka menunggang tanpa lesen,” katanya.