ad

MB meriahkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Gombak

12 Okt 2025, 2:55 AM
MB meriahkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat Gombak

SHAH ALAM, 12 OKT: Sambutan Hari Sukan Negara disambut meriah seluruh negeri, semalam termasuk di peringkat daerah Gombak yang berlangsung di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Facebook memaklumkan program yang bermula 7.30 pagi hingga 2 petang itu dirasmikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti aerobik, klinik bola sepak, pertandingan sukaneka dan tarik tali, pertandingan mewarna, Jualan Agro Madani, seni bela diri serta pemeriksaan kesihatan dan gigi.

Amirudin turut menyampaikan insentif kepada Majlis Sukan Daerah Gombak sempena kejayaan di Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) 2025 yang meraih 44 pingat secara keseluruhan.

EXCO Sukan Najwan Halimi melepaskan peserta larian ketika sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Negeri pada 11 Oktober 2025. Foto Facebook Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor

Sambutan di peringkat negeri pula dimeriahkan oleh EXCO Sukan Najwan Halimi di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, semalam.

Pada program itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Ikon Sukan Selangor yang juga atlet boling padang, Nor Farah Ain Abdullah yang dinobatkan sebagai juara di Kejohanan World Bowls Indoor Championship 2024 Gurnsey.

Ahli Parlimen Sepang Datuk Aiman Athirah Sabu ketika sambutan Hari Sukan Negara peringkat daerah Sepang di pekarangan KIPMall, Kota Warisan pada 11 Oktober 2025. Foto Facebook Hafiz Saroni

Sambutan peringkat daerah Sepang di pekarangan KIPMall, Kota Warisan pula dirasmikan Ahli Parlimen Sepang merangkap Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao ketika sambutan Hari Sukan Negara peringkat daerah Hulu Selangor di Oasis Batang Kali pada 11 Oktober 2025. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Manakala sambutan peringkat daerah Hulu Selangor yang berlangsung di Oasis Batang Kali pula dirasmikan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.

Program diserikan dengan perbarisan anak-anak cilik daripada enam belas tadika perpaduan dengan bertemakan buah-buahan, selain acara indoor dan permainan dalam talian.