ad

Pendidikan percuma PTPTN ringankan beban kewangan pelajar B40

12 Okt 2025, 2:23 AM
Pendidikan percuma PTPTN ringankan beban kewangan pelajar B40

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Keputusan kerajaan memberikan Pendidikan Percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah satu langkah bermakna ke arah peluang pendidikan yang saksama serta dapat meringankan beban kewangan mereka.

Pakar Pengurusan Pendidikan, Perancangan dan Polisi, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Aziah Ismail berkata bagi kebanyakan isi rumah B40, halangan terbesar bukan bakat atau motivasi, sebaliknya kemampuan kewangan, dan inisiatif ini memberi peluang terbaik kepada pelajar berpotensi untuk mengejar impian mereka tanpa dihalang oleh pendapatan keluarga.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan jumlah 5,800 pelajar ini masih lagi kecil berbanding keseluruhan populasi universiti dan kita mesti memastikan bantuan itu turut merangkumi kos sara hidup serta bahan pembelajaran, bukan hanya yuran pengajian semata-mata,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa pembentangan Belanjawan 2026 semalam mengumumkan kerajaan akan menyediakan Pendidikan Percuma PTPTN kepada 5,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang melanjutkan pengajian di IPTA, dengan peruntukan RM120 juta setahun bagi keluarga miskin yang berpendapatan di bawah RM2,705.

Selain itu, melalui Belanjawan 2026, kerajaan juga akan mewujudkan 1,500 tempat baharu bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam 10 bidang pengajian di lima universiti penyelidikan, termasuk undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) dan bahasa bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.

Aziah berkata langkah kerajaan menambah 1,500 tempat baharu pengajian prasiswazah dalam bidang utama seperti undang-undang, perakaunan, ekonomi, kewangan Islam, AI dan bahasa adalah keputusan strategik dan tepat pada masanya, khususnya bagi pelajar cemerlang termasuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Dengan memberi lebih banyak peluang, kerajaan bukan sahaja memperluas akses tetapi juga memastikan bakat daripada pelbagai latar belakang dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan ini sejajar dengan peralihan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi), yang pertumbuhannya semakin bergantung kepada kemahiran, inovasi dan kepakaran tinggi berbanding tenaga kerja tradisional.

“Penyenaraian bidang seperti AI dan kewangan Islam turut mencerminkan dasar berpandangan jauh, yang mengimbangi keperluan teknologi masa depan dengan identiti sosioekonomi unik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Ahmad Aizuddin Md Rami berkata Pendidikan Percuma PTPTN yang ditawarkan menerusi Belanjawan 2026 adalah langkah progresif kerajaan ke arah mobiliti sosial dan keadilan pendidikan bagi semua.

Beliau bagaimanapun berkata pelaksanaan itu perlu disertai dengan penilaian yang telus agar penerima-penerimanya benar-benar terdiri daripada kumpulan sasaran keluarga B40.

“Ia adalah langkah awal ke arah strategi jangka panjang kepada akses pendidikan percuma secara berperingkat dan Belanjawan 2026 jelas meletakkan asas kukuh melestarikan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif,” katanya.