Asean disaran perkukuh privasi data, bersikap proaktif dalam perdagangan global

11 Okt 2025, 7:34 AM
Asean disaran perkukuh privasi data, bersikap proaktif dalam perdagangan global
Asean disaran perkukuh privasi data, bersikap proaktif dalam perdagangan global

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Negara-negara Asean perlu memperkukuh dasar privasi dan tadbir urus data bagi memastikan kemajuan teknologi memberi manfaat kepada rakyat, bukan hanya pelabur atau kuasa besar, kata Felo Kanan Carnegie Endowment for International Peace, Elina Noor.

Bercakap pada forum Asean in the Crossfire: Geopolitics, Trade, and Technological Hegemony semalam, beliau berkata meskipun negara Asean giat menarik pelaburan digital, rantau ini perlu menilai semula siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada pembangunan pesat tersebut.

“Jika rakyat yang sepatutnya menikmati faedah daripada kemajuan teknologi, maka kita perlu bertanya beberapa soalan yang sukar, bukan sahaja tentang data, tetapi juga infrastruktur digital yang menggerakkan teknologi berasaskan data ini,” katanya.

Elina berucap pada Selangor Asean Business Conference (SABC) yang diadakan sempena Selangor International Business Summit (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun banyak negara Asean mempunyai undang-undang perlindungan data peribadi, rantau ini masih kekurangan perundangan menyeluruh berkaitan privasi dan keselamatan data.

“Perlindungan data tidak sama dengan keselamatan data, dan kedua-duanya juga tidak sama dengan privasi. Aspek ini perlu diperhalusi sekiranya kita benar-benar serius terhadap pelaburan dalam teknologi berasaskan data,” katanya.

Elina turut menggesa pembuat dasar Asean menilai semula tadbir urus data bukan sahaja di peringkat individu, tetapi secara kolektif.

“Kita boleh lebih kreatif dengan memikirkan konsep ‘data komuniti’,” ujarnya, merujuk kepada perbincangan di Afrika dan Amerika Latin yang mula meneroka pendekatan perlindungan data berasaskan komuniti.

Beliau turut mengingatkan bahawa peranan Asia Tenggara dalam ekonomi data global masa kini mengulangi corak sejarah kolonial apabila rantau ini dijadikan pusat sumber utama.

Menurutnya, infrastruktur digital moden seperti kabel dasar laut dan perkhidmatan awan menyerupai sistem telegraf abad ke-19 yang bergantung pada sumber getah dari rantau ini.

“Kita perlu sedar supaya tidak mengulangi sejarah sama dengan menawarkan tanah, tenaga kerja, tenaga dan air yang murah. Jika tidak, kita berisiko mengulangi sejarah, apabila nilai kita menguntungkan pihak lain lebih daripada diri sendiri,” katanya.

Elina turut menekankan bahawa aspek ekonomi dan keselamatan kini semakin berkait rapat dalam dasar teknologi.

Keputusan berkaitan pusat data, kabel dasar laut dan perkhidmatan awan kini semakin dikaitkan dengan klausa keselamatan negara dan peraturan asing seperti perintah eksekutif atau syarat perundangan kuasa besar.

“Kita tidak lagi mempunyai kemewahan untuk memisahkan apa yang bersifat ekonomi atau komersial daripada aspek keselamatan. Ini realiti yang perlu dihadapi dan kita mesti lebih strategik serta proaktif dalam pemikiran,” katanya.

Beliau menambah, sudah tiba masanya Asean keluar daripada sikap reaktif terhadap tekanan luar dan beralih kepada dasar digital yang berasaskan keperluan rakyat yang ditentukan sendiri.

“Sudah terlalu lama kita berada dalam mod bertindak balas terhadap sistem antarabangsa. Mungkin kini masanya untuk kita berhenti seketika dan menilai semula apa yang benar-benar kita inginkan daripada sistem ini, sekiranya kita mampu,” ujarnya.

Pendekatan lebih proaktif

Felo Kanan (Pejabat Pengerusi) Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Arividya Arimuthu ketika Forum bertajuk “ASEAN in the Crossfire – Geopolitics, Trade, and Technological Hegemony” pada Selangor Asean Business Conference 2025 (SABC) di Kuala Lumpur Convention Centre pada 09 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Felo Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Arividya Arimuthu berkata Asean perlu lebih proaktif dalam membentuk dasar perdagangan global dan tadbir urus digital, bukan sekadar mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”.

Merujuk kepada cara rantau ini menangani ketegangan perdagangan terdahulu, beliau berkata Asean menunjukkan kesepakatan dan diplomasi ketika Amerika Syarikat mengumumkan tarifnya.

“Ketika Trump mula mengumumkan tarif, Asean pantas menyatakan pendirian tidak akan berseteru. Kita memilih untuk berbincang, berunding dan mencari penyelesaian bersama. Wujud semangat kebersamaan yang menegaskan komitmen Asean terhadap sistem perdagangan pelbagai hala, walaupun ia tidak sempurna,” katanya.

Namun, menurutnya, tindak balas kolektif itu jarang diterjemah kepada tindakan bermakna, terutama dalam isu kompleks seperti rangka kerja Indo-Pasifik, perpecahan sistem pelbagai hala dan bentuk baharu tekanan ekonomi.

“Banyak kali Asean bertindak balas dengan pantas… tetapi banyak kali juga kita sekadar memerhati, sedangkan kita boleh bertindak lebih awal,” ujarnya.

Arividya menegaskan sistem perdagangan global sedia ada tidak direka untuk menangani cabaran baharu seperti dasar agresif negara tertentu, subsidi industri dan tekanan ekonomi, justeru Asean perlu tampil dengan pembaharuan sendiri.

Berhubung perjanjian perdagangan serantau, beliau berkata Asean perlu kekal sebagai peneraju utama dalam Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) di tengah-tengah persaingan pengaruh kuasa besar.

“RCEP bermula sebagai proses yang dipacu Asean… kini apabila China dan Jepun cuba membentuk fasa seterusnya, Asean perlu menegaskan semula kepimpinannya dan memastikan perjanjian ini tidak menjadi alat mana-mana pihak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan yang walaupun usaha mempelbagaikan pasaran eksport penting, banyak ekonomi Asean masih bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat yang menyumbang kira-kira 30 peratus daripada perbelanjaan pengguna global.

“Secara realistik, negara-negara pengeksport di Asean masih bergantung kepada pasaran AS,” katanya. “Keadaan ini mungkin berubah pada masa depan, tetapi untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, rantau ini masih perlu mencari jalan bekerjasama dengan AS.”