Unisel temui 'kelebihan' ikan bandaraya

11 Okt 2025, 5:40 AM
Unisel temui 'kelebihan' ikan bandaraya
Unisel temui 'kelebihan' ikan bandaraya

SHAH ALAM, 11 OKT: Ribuan kilogram (kg) ikan bandaraya berjaya ditangkap saban bulan, khususnya menerusi inisiatif Program Tangkap Ikan Bandaraya yang diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak tahun lalu.

Memiliki kepala dan kulit yang keras, ikan bandaraya yang juga dikenali sebagai ikan pleco sebenarnya memiliki khasiat protein tinggi yang boleh dimanfaatkan sebagai makanan alternatif kepada haiwan ternakan.

Hal ini dibuktikan menerusi kajian dilaksanakan pensyarah kanan Universiti Selangor (Unisel) di Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat yang berjaya melakukan inovasi palet makanan haiwan daripada isi ikan bandaraya.

Dr Intan Faraha A. Ghani ketika ditemui Media Selangor berkata idea menghasilkan palet makanan haiwan daripada ikan bandaraya bermula ketika beliau melaksanakan kajian spesis ikan asing pada 2019.

Pensyarah Kanan dan Penyelidik di Universiti Selangor (Unisel) Dr Intan Faraha A Ghani ditemu bual Media Selangor di Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya pada 4 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Semasa kajian dilakukan, saya mendapati dominasi ikan bandaraya ini merupakan satu perkara yang sangat serius. Pada 2020, saya lakukan satu lagi kajian mengenai ikan bandaraya ini.

“Rentetan daripada beberapa kajian yang dijalankan, saya rasa perlu suatu hasil yang membolehkan ikan bandaraya ini digunakan semula bagi membolehkan dominasinya berkurang,” katanya.

Dr Intan menambah beliau bersama pasukannya melaksana penyelidikan makanan ikan komersial menggantikan isi ikan pleco menerusi pembinaan mesin khas yang bernilai RM300,000 di sebuah makmal di Unisel.

Bagaimanapun, katanya, kajian tersebut masih belum lengkap sepenuhnya selain palet makanan ikan tersebut juga belum dapat dikomersialkan kepada pengguna berikutan berdepan beberapa kekangan.

“Kita tidak mahu pengkomersialan makanan haiwan daripada ikan bandaraya ini menjadi suatu ancaman kepada kita suatu hari nanti.

“Sebagai contoh, ikan bandaraya ini kita ambil dari sungai, tetapi kita bimbang lama kelamaan syarikat tersebut mahu bela pula ikan bandaraya itu untuk mudahkan mereka.

Hasil tangkapan ikan asing dikumpul dalam Program Tangkap Ikan Bandaraya (pleco) di anak Sungai Kuyoh, Seri Kembangan pada 22 Disember 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIASELANGOR

“Itu yang masih dalam perbincangan bagaimana kita mahu tangani perkara tersebut, mungkin kita akan perhalusi tatacara operasi piawai (SOP) atau sebagainya,” katanya.

Ketika ini, Dr Intan berkata Unisel giat menjalankan pelbagai program kesedaran mengenai ancaman ikan asing kepada orang ramai selain menganjurkan kursus asas penghasilan makanan ikan kepada para penternak.

Beliau berkata, Unisel bersyukur apabila usaha tersebut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang sudi menaja serta bekerjasama bagi menjayakan program terbabit.

Justeru, katanya, pihaknya mengambil inisiatif membuka makmal penghasilan makanan haiwan ternakan kepada pengusaha yang mahu menghasilkan sendiri produk mereka secara kecil-kecilan.

“Di sini kita ada 'teaching factory'. Dalam masa yang sama kita gunakan kemudahan yang ada untuk bangunkan palet ikan. Di sini sahaja kita boleh proses 150kg isi ikan bandaraya setiap jam.

“Kita juga buka kepada penternak yang mahu bangunkan produk makanan ikan mereka berasaskan ikan bandaraya. Sebab kita sudah latih ramai penternak dan kita buka kemudahan itu kepada orang ramai,” katanya.

Menyifatkan kebanjiran ikan pleco sebagai perkara yang amat membimbangkan, beliau berharap masyarakat mula cakna terhadap kepentingan menjaga ekosistem sungai.

Beliau turut mencadangkan semua pihak bekerjasama menangani masalah pencemaran sungai bagi membantu menghasilkan produk ikan bandaraya dengan lebih inovatif serta selamat.

“Kalau kita tidak dapat tangani isu ikan asing ini, suatu hari nanti kita mungkin tidak makan ikan lain, kita hanya makan ikan bandaraya sahaja. Di restoran pun mungkin mereka akan hidangkan ikan bandaraya,” katanya.