SHAH ALAM, 11 OKT: Kerajaan menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli menerusi Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata peningkatan peruntukan kepada RM412 juta membuktikan kesungguhan dalam memastikan komuniti tersebut terus dibangunkan secara menyeluruh dan inklusif.
“Sebagai EXCO yang menjaga hal ehwal komuniti Orang Asli serta portfolio Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan komitmen berterusan beliau terhadap masyarakat Orang Asli.

"Belanjawan 2026 memperlihatkan perhatian besar kerajaan perpaduan terhadap komuniti Orang Asli, selaras dengan prinsip “Leave No One Behind” di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030)," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, antara inisiatif penting yang diumumkan ialah pindaan Akta Orang Asli 1954 bagi memperkukuh hak dan kepentingan masyarakat berkenaan, khususnya berkaitan isu tanah dan kebajikan.
“Langkah ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap hak dan autonomi komuniti Orang Asli dalam arus pembangunan negara,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM155 juta bagi penambahbaikan jalan di Kampung Orang Asli termasuk pembinaan laluan baharu yang dijangka membuka lebih banyak akses ekonomi dan sosial kepada masyarakat pedalaman.
Beliau turut memaklumkan hampir RM13 juta diperuntukkan bagi menaik taraf premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di semua Kampung Orang Asli, termasuk pembinaan empat buah yang baharu, dua daripadanya di Kampung Uli Kuang, Gombak dan Kampung Taman Desa Kemandol, Kuala Langat.
“Program Pendidikan Khas Chup Badui Sikulah ini pula mampu memberi peluang kepada lebih 350 anak-anak Orang Asli yang berisiko tercicir untuk menikmati pendidikan asas dalam persekitaran yang lebih fleksibel dan sesuai dengan keperluan mereka,” jelas beliau.




