KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP memperuntukkan RM20 juta dalam Belanjawan 2026 untuk program pembiayaan mikro dengan memperkasa 3,000 usahawan di peringkat komuniti.
Pembantu Naib Presiden KWAP Wan Najwa Wan Sulaiman berkata dana itu juga akan membantu ramai pesara yang ingin kembali bekerja, namun menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri semula ke dalam pasaran pekerjaan.
“Dana berkenaan disalurkan melalui rakan strategik kami, Amanah Ikhtiar Malaysia, yang mempunyai rekod kutipan balik pinjaman 99.9 peratus.
“KWAP akan bekerjasama dengan agensi seperti HRD Corp untuk menyediakan sokongan dan peluang kepada mereka yang mahu kembali bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai panel pada forum penjagaan bertajuk “Investing In The Future Care” pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Wan Najwa memaklumkan kajian pihaknya bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institusi Penyelidikan MyAgeing membabitkan 6,500 penjawat awam mendapati kebanyakan di kalangan mereka tidak mempunyai pendapatan mencukupi.
“Kajian juga menunjukkan daripada 800,000 penjawat awam yang menerima gaji setiap bulan, hanya 20 peratus berasa gaji mereka mencukupi, manakala 80 peratus mengakui ia tidak mencukupi sepanjang hayat mereka.
“Faktor utama yang dikenal pasti ialah kos sara hidup yang tinggi, terutamanya pendidikan anak-anak hingga terdapat keperluan untuk bekerja selepas bersara, bukan kerana minat tetapi terpaksa,” jelasnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.
Kerajaan memperuntukkan RM470 bilion untuk Belanjawan 2026, dengan peruntukan RM338.2 bilion untuk perbelanjaan mengurus, dan RM81 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.





