ad

RM6.6 juta lesap, pegawai bank jadi mangsa pelaburan palsu atas talian

10 Okt 2025, 2:47 PM
RM6.6 juta lesap, pegawai bank jadi mangsa pelaburan palsu atas talian
RM6.6 juta lesap, pegawai bank jadi mangsa pelaburan palsu atas talian

SEREMBAN, 10 OKT: Pegawai bank wanita mengalami kerugian RM6.65 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian antara 3 Ogos hingga 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu Rabu lalu dan mendapati modus operandi sindiket adalah menawarkan pelaburan saham menerusi sebuah aplikasi yang dimuat turun daripada platform dalam talian.

“Mangsa membuat pembelian saham dalam aplikasi tersebut sebelum melakukan 129 transaksi pembayaran antara 3 Ogos hingga 1 Oktober lepas yang membabitkan jumlah keseluruhan kerugian RM6,655,000.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan dalam talian dan disarankan membuat semakan terlebih dahulu mengenai status pelaburan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

- BERNAMA