ad

Ekonomi penjagaan pemacu produktiviti, berpotensi jana pendapatan berganda

10 Okt 2025, 1:37 PM
Ekonomi penjagaan pemacu produktiviti, berpotensi jana pendapatan berganda
Ekonomi penjagaan pemacu produktiviti, berpotensi jana pendapatan berganda

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ekonomi penjagaan atau care economy yang sedang berkembang pesat di rantau Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini mampu menjana pulangan pendapatan berganda.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata ekonomi penjagaan bukan sekadar sektor strategik malah pemangkin ekonomi untuk meningkatkan produktiviti, kesejahteraan sosial dan pengiktirafan peranan wanita dalam sektor penjagaan.

“Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024 - 2030 merupakan komitmen Kerajaan Negeri menjadikan sektor ekonomi penjagaan sebagai tonggak penting pembangunan ekonomi dan sosial negeri.

“Selangor juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pusat Penjagaan bagi menyeragam garis panduan untuk pusat penjagaan kanak-kanak dan warga emas di 12 pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panel pada forum penjagaan bertajuk “Investing In The Future Care” pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (kiri) salah seorang panel forum “Investing in the Future of Care” pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 sempena Selangor International Business Summit 2025 (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menurutnya, Selangor turut membangunkan ekosistem ekonomi penjagaan melalui inovasi berasaskan teknologi digital dan ekonomi gig bagi menyediakan tenaga kerja penjagaan warga emas.

“Antara contoh menarik ialah Teman Malaysia, sebuah syarikat yang menyediakan khidmat penjagaan warga emas melalui aplikasi mudah alih.

“Sebanyak 10 syarikat pemula (startup) menyertai program Selangor Care Accelerator yang menyediakan advokasi, promosi dan dana untuk syarikat pemula ini. Antara yang terlibat ialah Teman Malaysia dan Swyfted. Inilah contoh bagaimana Selangor membangunkan ekosistem untuk menyokong inovasi dalam sektor penjagaan,” ujarnya.

Kerajaan Negeri buat kali pertama menganjurkan SICS 2025 selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai langkah penting merealisasikan visi menjadikan Selangor sebagai Hub Penjagaan Rantau Asia-Pasifik.

Menampilkan empat komponen utama iaitu Sesi Townhall Penjagaan, Forum Penjagaan, Padanan Perniagaan Prihatin dan Ekspo Penjagaan melibatkan penyertaan dari 54 pempamer termasuk dari luar negara seperti Finland, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Australia serta India.

Pempamer mengetengahkan pelbagai produk kemahiran dan teknologi penjagaan inovatif yang menonjolkan potensi perniagaan dalam ekonomi penjagaan yang semakin berkembang.