SHAH ALAM, 10 OKT: Perubahan kecil pada anak seperti tiba-tiba jadi pendiam, cepat marah atau enggan ke sekolah sering dianggap perkara biasa. Namun di sebalik diam itu, mungkin tersembunyi tekanan emosi yang tidak diungkap.
Menurut Pakar Psikologi Klinikal Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Siti Aminah Omar, krisis senyap dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kini semakin ketara apabila kesihatan mental mereka kerap disalah erti sebagai ‘perangai remaja’.
Beliau menjelaskan simptom awal biasanya bermula dengan perubahan tingkah laku halus yang mudah terlepas pandang. Ibu bapa sering menganggap anak sedang melalui fasa biasa, sedangkan itu mungkin isyarat awal tekanan emosi yang memerlukan perhatian.

“Bila anak menjauh, ibu bapa kena jadi pihak pertama mendekati mereka, bukan tunggu mereka datang. Peka pada tingkah laku anak-anak. Lebih awal kita kesan, lebih cepat kita dapat bantu,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia.
Dr Siti Aminah menambah, tekanan dalam kalangan anak muda boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk beban akademik, konflik keluarga dan pengaruh media sosial yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan emosi.
Beliau turut menekankan peranan sekolah dalam membentuk kestabilan emosi pelajar. Namun, katanya, nisbah antara kaunselor dan pelajar yang tinggi di kebanyakan sekolah menyebabkan pemantauan emosi murid sukar dilaksanakan secara menyeluruh.
“Satu sekolah boleh ada lebih seribu pelajar tetapi hanya dua kaunselor. Guru pula dibebankan dengan tugasan akademik, jadi pemantauan emosi murid sering terpinggir. Perkara ini perlu dititikberatkan,” tegasnya.
Beliau mencadangkan saringan kesihatan mental dijalankan secara berkala di sekolah bagi mengenal pasti pelajar berisiko dan memberi bantuan sewajarnya.
“Pelajar yang stabil emosi lebih mudah cemerlang dalam akademik. Sebelum kita didik otak, kita perlu tenangkan hati anak-anak,” ujarnya.

Dr Siti Aminah turut menggesa supaya program kesedaran mengenai buli, tekanan rakan sebaya dan penyalahgunaan dadah dilaksana secara sistematik dan berterusan di semua institusi pendidikan.
Walaupun stigma terhadap isu kesihatan mental masih wujud, katanya, kesedaran masyarakat semakin meningkat apabila semakin ramai berani tampil mendapatkan bantuan profesional.
“Masih ada yang takut ke hospital kerana bimbang dilabel ‘gila’. Tapi semakin ramai yang datang berjumpa pakar kerana mereka tahu dapatkan bantuan bukan tanda lemah, tapi tanda berani menjaga diri,” katanya.
Selangor, ujarnya, antara negeri terkehadapan dalam memperluas akses rawatan mental menerusi Kaunselor Hab SEHAT dan Pusat Kaunseling Selangor – Talian Sahabat, yang menawarkan sesi kaunseling percuma secara bersemuka dan dalam talian.
Langkah itu bukan sahaja memudahkan rakyat mendapatkan bantuan awal, malah membantu menghapuskan stigma bahawa rawatan psikologi hanya untuk mereka yang mengalami gangguan serius.
“Kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal. Kalau kita boleh bawa anak ke klinik bila demam, kenapa tidak bila mereka murung?” katanya mengakhiri perbualan.