ad

Belanjawan Selangor: Pendidikan dapat dana terbesar, dorong TVET di sekolah

10 Okt 2025, 2:28 AM
Belanjawan Selangor: Pendidikan dapat dana terbesar, dorong TVET di sekolah

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Sektor pendidikan akan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan Selangor 2026, yang dijadual dibentangkan November depan, kata Dato' Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, negeri akan melaksanakan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk pelajar sekolah menengah mulai tahun hadapan.

Jelasnya, usaha berkenaan selaras komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pendidikan dan melengkapkan generasi masa depan dengan kemahiran yang diperlukan industri.

Beliau menambah negeri memperuntuk antara RM15 hingga RM20 juta setahun ketika ini bagi program TVET, berkaitan elektrik dan elektronik, dan industri bernilai tinggi seperti rel dan aeroangkasa.

“Tahun hadapan, peruntukan terbesar dalam belanjawan negeri akan ditumpukan kepada pendidikan. Tahun lalu fokusnya ekonomi, manakala kebajikan menerima bahagian terbesar pada tahun sebelumnya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika Sesi Dialog Industri Aeroangkasa sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kami bersedia bekerjasama dengan pemain industri untuk membangunkan bakat yang menepati keperluan khusus mereka,” katanya pada Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor, sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Amirudin berkata negeri turut menaja tuisyen untuk lebih 100,000 pelajar tingkatan 4 dan 5, dan akan memperkenal program TVET di sekolah menengah mulai tahun hadapan.

“Pihak industri boleh mula mengenal pasti dan merancang keperluan untuk tempoh lima atau 10 tahun akan datang. Kita boleh bekerjasama membentuk serta melahirkan generasi bakat baharu dengan kemahiran yang diperlukan industri,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, Selangor sedang meneliti kemungkinan mengadaptasi model penyertaan ekuiti Jerman dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri sebagai sebahagian strategi jangka panjang memperkasa industri berasaskan inovasi.

Katanya, model tersebut membolehkan kerajaan dan institusi kewangan berinovasi bersama syarikat dalam projek R&D, dengan setiap perbelanjaan sektor swasta dipadankan dengan pembiayaan awam.

Namun, sumbangan kerajaan bukan berbentuk geran, sebaliknya dianggap pelaburan yang kemudian ditukar kepada ekuiti atau saham dalam produk atau syarikat yang dibangunkan.

“Saya fikir model ini juga boleh diperkenalkan untuk Selangor pada masa depan, tetapi tentunya kita perlu menilai dahulu keupayaan kewangan. Industri ini memerlukan bukan sahaja jutaan, malah berpotensi ratusan juta atau berbilion ringgit pelaburan,” katanya.

Amirudin menambah Selangor juga perlu berunding dengan pelabur dan institusi kewangan bagi meneroka model pembiayaan bersama, dengan Kerajaan Negeri bertindak sebagai pengantara.