SHAH ALAM, 10 OKT: Delegasi Asean dibawa melawat dua lokasi warisan utama di Selangor, semalam sempena Mesyuarat Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-34.
Menurut Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Selangor, dua lokasi berkenaan adalah Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Klang dan Perkampungan Budaya Mah Meri di Kuala Langat.
“Program ini menghimpunkan menteri-menteri ASCC, pegawai kanan ASCC (SOCA) serta pegawai kanan Asean bagi memperkukuh hubungan serantau melalui warisan seni dan budaya.
“Di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, delegasi disambut dengan persembahan muzik Cempuling dan tarian tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor sebelum meninjau pameran Batik, Gasing Pangkah, Kuih Bahulu serta kebudayaan Cina dan India.
"Mereka turut meninjau galeri yang menampilkan sejarah dan institusi Diraja Selangor,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama menjelaskan, lawatan berkenaan bukan sekadar memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada tetamu Asean, malah memperkukuh peranan Selangor sebagai hab kebudayaan dan pelancongan serantau, selaras dengan agenda Tahun Melawat Selangor 2025.
Sesi kedua diadakan di Kampung Kebudayaan Mah Meri, yang menampilkan warisan masyarakat Orang Asli Mah Meri.
“Lawatan ini disertai delegasi dari Myanmar, Kemboja, Laos dan Timor-Leste termasuk empat menteri ASCC, tiga pemimpin SOCA serta 36 pegawai kanan Asean.
“Ketibaan mereka disambut Tok Batin dan masyarakat Mah Meri melalui upacara adat sewang, tempoq kepala serta minum selamat secara tradisional,” jelasnya.
Delegasi turut menyertai aktiviti interaktif seperti tarian selamat, permainan tradisional, anyaman, ukiran kayu dan pertunjukan adat perkahwinan Mah Meri sebagai acara kemuncak.
“Program seperti ini membuka ruang pertukaran budaya dan memperkukuh persefahaman antara negara Asean, selain mengangkat warisan Selangor ke peringkat antarabangsa,” menurut jawatankuasa itu.
Lawatan dua sesi tersebut sekali lagi membuktikan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh diplomasi budaya dan pelancongan berasaskan warisan, seiring dengan matlamat TMS2025.
Mesyuarat ASCC ke-34 dan Mesyuarat Jawatankuasa SOCA ke-39 berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway sejak Isnin lalu, menjadi platform penting bagi negara anggota Asean membincangkan isu sosiobudaya serantau serta memperkukuh agenda berteraskan rakyat melalui perkongsian nilai dan warisan budaya.