ad

KUSEL johan Anugerah Geospatial Kebangsaan 2025, bangun peta digital bawah tanah

10 Okt 2025, 1:02 AM

SHAH ALAM, 10 OKT: Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dinobat sebagai johan Anugerah Geospatial Kebangsaan (NGA) 2025 bagi Kategori Industri hasil kejayaan membangunkan peta digital bawah tanah pertama di Selangor.

Agensi itu memberitahu projek di bawah Pembangunan Peta Digital Bawah Tanah – SELGIS bagi Perancangan Infrastruktur Pintar Selangor dilaksanakan menggunakan Sistem Maklumat Geografi (SELGIS).

“Inisiatif ini membantu Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Melulus merancang kerja utiliti serta pembangunan infrastruktur secara lebih selamat, teratur dan bersepadu.

“Melalui SELGIS, data utiliti seperti air, elektrik, gas dan telekomunikasi dihimpunkan dalam satu platform digital bagi memastikan kerja pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, selamat dan tersusun,” menurut KUSEL dalam kenyataan, semalam.

Tambahnya, kejayaan berkenaan turut memperkukuh peranan KUSEL sebagai agensi penyelaras utama pembangunan infrastruktur Selangor yang berasaskan data dan keselamatan.

Sejak ditubuhkan empat tahun lalu, KUSEL membantu pentadbiran negeri menyelaras sistem pemetaan utiliti bawah tanah, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan infrastruktur sedia ada.

Anak syarikat di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor antara lain berperanan memastikan semua utiliti didaftarkan dan disusun dengan teratur bagi mengelak sebarang insiden luar jangka.