ad

97 kluster jangkitan influenza dilaporkan, Selangor catat 43 kluster

9 Okt 2025, 1:50 PM
97 kluster jangkitan influenza dilaporkan, Selangor catat 43 kluster
97 kluster jangkitan influenza dilaporkan, Selangor catat 43 kluster

PUTRAJAYA, 9 OKT: Sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding 14 kluster minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua negeri melaporkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor sebanyak 43 kluster, Kuala Lumpur dan Putrajaya (15 kluster), Pulau Pinang (10 kluster), Johor (sembilan kluster) dan Kedah (lima kluster).

“Majoriti kluster dilaporkan berlaku di sekolah menengah iaitu 32 kluster, sekolah rendah (26), tadika (15) dan sekolah swasta (sembilan).

“Peningkatan ini mencerminkan pola penularan influenza bermusim yang lazim berlaku dan setakat ini masih terkawal,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan walaupun pemantauan sentinel mendapati kadar Influenza-Like Illness (ILI) meningkat diikuti pertambahan jumlah kluster influenza, peningkatan itu masih dalam jangkaan musim influenza dan terkawal.

Menurut kenyataan itu kadar kemasukan ke hospital bagi kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) menunjukkan sedikit penurunan.

KKM memaklumkan survelan makmal juga mengesahkan tiada mutasi baharu dikesan, dengan penularan berpunca daripada virus Influenza A (H3), iaitu strain bermusim.

Menurut kenyataan itu, pemantauan di 58 klinik kesihatan sentinel seluruh negara menunjukkan kadar ILI meningkat kepada 7.38 peratus pada ME 40/2025 berbanding 5.95 peratus pada minggu sebelumnya.

“KKM juga ingin menjelaskan bahawa ujian makmal tidak dijalankan secara rutin bagi semua kes ILI kerana majoritinya bergejala ringan dan boleh didiagnosis secara klinikal tanpa memerlukan pengesahan makmal.

“Rawatan diberikan kepada pesakit yang berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil serta individu dengan penyakit kronik yang bergejala jangkitan influenza,” menurut kenyataan itu.

Secara umumnya, menurut KKM influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus dan pesakit dinasihatkan untuk berehat secukupnya, minum air dengan banyak serta mengamalkan etika batuk serta kebersihan diri bagi mengelakkan penularan kepada orang lain.

Bagi institusi pendidikan, KKM menyarankan pihak berwajib untuk membuat pemantauan pelajar yang bergejala, memastikan mereka segera mendapatkan rawatan serta diasingkan, dan memberi makluman awal kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sekiranya berlaku peningkatan kes bagi membolehkan tindakan kawalan dilaksanakan dengan segera.

“KKM akan terus memantau situasi influenza di seluruh negara dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

“Sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, usaha mengawal influenza ini tanggungjawab bersama, kerajaan, komuniti, institusi pendidikan dan seluruh rakyat, demi memastikan anak-anak dapat belajar dengan selamat, warga emas terlindung, dan masyarakat terus sihat serta sejahtera,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA