KUALA LUMPUR, 10 OKT : Sejak Januari sehingga awal Oktober ini tiada henti tugas loji rawatan air dengan kod merah dilaksana, kata Ketua Penolong Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Haslina Amer.
Jelasnya, kejayaan itu susulan pelaksanaan polisi Dasar Sifar Pelepasan atau Zero Discharge Policy (ZDP) oleh Kerajaan Negeri yang diwarta sejak 2024.
“Sehingga kini 4,000 premis sudah menerima lesen ZDP, sedangkan 30,000 premis berada dalam Selangor. Jika premis-premis ini gagal dapatkan lesen, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara lebih dua tahun.
“Pada 2020, direkodkan 11 kod merah dilaksana diikuti 2 pada 2021, 4 (2022), 5 (2023) dan 4 (2024),” katanya ketika sesi perkongsian di Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Sebanyak 13 sektor dikehendaki mendaftar bagi lesen ZDP, antara sektor yang diliputi oleh dasar itu ialah akuakultur, pembangunan atau kerja tanah, ayam itik, ladang haiwan, pembersihan kenderaan industri dan perlombongan pasir.
Diikuti rumah penyembelihan, perindustrian, aktiviti rekreasi, pengurusan pembetung, pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan air.
ZDP yang dilaksanakan pada Jun 2024, bertujuan mengarahkan penggiat industri agar mengitar semula efluen (sisa buangan cecair) dan bukannya membuang sisa ke dalam longkang, sungai mahupun mana-mana sumber air.
Polisi berkenaan diletakkan di bawah Enakmen Luas 1999 (Peraturan Pelesenan Pelesenan Pelepasan Air Pulangan dan Kemasukan atau Pelepasan Sisa dan Pencemar (Selangor).