KUALA LUMPUR, 9 OKT: Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC) 2025 disifatkan sebagai platform penting memperkukuh kerjasama antara pembuat dasar, pemimpin industri dan rakan serantau dalam merangka strategi pelaburan baharu di rantau ini.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Ekonomi) Satvinder Singh berkata persidangan itu turut menyokong usaha Malaysia memperkukuh integrasi ekonomi serantau ketika memegang kerusi pengerusi ASEAN tahun ini.
“ASEAN kini muncul sebagai salah satu kuasa ekonomi utama dunia, menduduki tangga kelima terbesar dan dijangka naik ke tangga keempat menjelang 2030.
“Pencapaian ini hasil integrasi dan pembaharuan berterusan didorong komitmen bersama negara anggota ke arah pembangunan ekonomi walaupun berdepan cabaran global,” katanya dalam ucapan khas yang disampaikan Ketua Bahagian Perkhidmatan dan Pelaburan Sekretariat ASEAN, Tai Hiong Tan sempena pembukaan hari kedua SABC 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN meningkat kepada AS$3.93 trilion (RM16.56 trilion) pada 2024 berbanding AS$3.74 trilion (RM15.76 trilion) tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan ekonomi diunjurkan mencecah 4.2 peratus tahun ini.
Katanya, pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN juga kekal kukuh apabila mencatat AS$226 bilion (RM952.5 bilion) tahun lalu, menjadikan rantau ini penerima FDI tertinggi dalam kalangan negara membangun selama empat tahun berturut-turut.
“Angka ini mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap ASEAN sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Satvinder mencadangkan supaya SABC memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu memperkukuh penglibatan sektor swasta dalam merangka dasar pelaburan serantau, memantapkan rantaian bekalan industri seperti semikonduktor dan automotif serta menggalakkan pelaburan mampan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“ASEAN memiliki kelebihan pengeluaran besar dan kini masa terbaik untuk memperkukuh rangkaian bekalan bagi menghadapi ketidaktentuan global,” katanya.
SABC yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 menjadi antara platform utama menghimpunkan pemimpin industri, pelabur dan agensi pembangunan ekonomi dari seluruh rantau untuk memperkukuh peranan Selangor sebagai pintu masuk pelaburan ke ASEAN.




