SHAH ALAM, 9 OKT: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik meminta penduduk Bandar Nusa Rhu, Seksyen U10, di sini mengumpul aduan dan bukti berhubung kediaman mereka yang terjejas akibat letupan bukit.
Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu bagi memudahkan pihaknya berbincang dengan pemaju dan sekiranya ada keperluan untuk mendapatkan pampasan sewajarnya.
"Saya minta persatuan penduduk mengemukakan laporan aduan secara kolektif berhubung kediaman mereka yang terjejas untuk kita bincang dengan pemaju, jangan aduan datang satu-satu, biar semua ada.
"Setakat kita terima maklum balas daripada pemaju tadi memang mereka menjalankan kerja tersebut berdasarkan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa terutama Jabatan Mineral dan Geologi.
"Daripada segi peraturan memang mereka dah ikut cuma kita lebih kepada nak membantu penduduk yang kita lihat sedikit sebanyak ada kediaman mereka terjejas akibat pembinaan projek fasa baharu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di kawasan kerja letupan bukit bersama penduduk, pemaju dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam di Bandar Nusa Rhu, Seksyen U10 di sini hari ini.
Jelas Mohd Najwan, beliau difahamkan oleh pihak pemaju projek tersebut mendapat permit untuk kerja letupan stuktur bukit tersebut sehingga Februari 2026.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Erzan Shafizan Gulam Mohd berkata setakat ini pihaknya menerima 12 laporan kediaman terjejas serta gambar keadaan rumah mereka.
Menurutnya, terdapat beberapa kediaman mengalami keretakan dinding dan kebocoran akibat letupan yang hampir setiap hari didengari sejak tiga bulan lalu.
"Insya-Allah, dalam seminggu dua nanti kita akan kumpul dan hantar aduan secara rasmi kepada YB (Yang Berhormat) Mohd Najwan untuk disampaikan kepada pihak pemaju," katanya.
Sementara itu penduduk Khairul Anuar Husin, 50, meluahkan kebimbangan susulan bunyi letupan yang didengari itu semakin kerap dan kuat, sejak kebelakangan ini.
"Berapa bulan kebelakangan ini memang kuat (bunyi) sampai bergegar pintu gelangsar (sliding door) rumah saya, malah siling rumah juga mula merekah dan tercabut dari struktur asal.
"Saya berharap pemaju melakukan kerja letupan ini mengikut undang-undang. Saya juga mengharapkan YB boleh buat sesuatu dan tolong penduduk yang mengalami kerosakan rumah," katanya yang tinggal di situ sejak 15 tahun lalu.