KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kampung Sungai Baru tidak pernah diwartakan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau tanah rizab Melayu berdasarkan semakan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata demikian semasa sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini susulan kekeliruan yang timbul berkaitan kedudukan sebenar Kampung Sungai Baru dalam kawasan MAS.
Beliau berkata sejarah pembentukan Kampung Sungai Baru bermula pada 1967 apabila Kerajaan Negeri Selangor ketika itu meluruskan Sungai Klang yang terletak bersebelahan MAS bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
“Setelah sungai tersebut diluruskan maka wujudlah tanah baharu yang dianggarkan seluas lebih kurang 16 ekar (6.47 hektar)... tanah inilah yang dinamakan Kampung Sungai Baru tetapi tidak termasuk di dalam kawasan rizab MAS seluas 219.91 ekar. (89 hektar)
“Tanah ini kemudiannya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertujuan untuk menambah penempatan Orang Melayu di sekitar Kampong Bharu... namun, tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut adalah tanah M.A.S,” katanya dalam sesi penerangan mengenai Hala Tuju Pembangunan Kampong Bharu Ke Arah Pemerkasaan Identiti Melayu di Kuala Lumpur.
-Mengenai cadangan merizabkan Kampung Sungai Baru kepada kawasan MAS atau tanah rizab Melayu, Dr Zaliha berkata perkara itu perlu diteliti secara mendalam kerana ia hanya boleh dilakukan dengan persetujuan semua pemilik tanah yang terlibat.
Beliau memaklumkan bahawa status semasa menunjukkan keseluruhan tanah di Kampung Sungai Baru dimiliki oleh pihak pemaju dan pemilik unit individu.
“… tertakluk kepada persetujuan keseluruhan daripada pemilik-pemilik tanah, termasuk pemaju yang telah memiliki sebahagian daripada tanah di Kampung Sungai Baru, kerana tanah-tanah ini telah diberi milik dan cadangan ini perlu dimohon oleh pemilik tanah dan bukannya dimulakan oleh kerajaan,” katanya.
Dr Zaliha juga berkata kerajaan tidak pernah campur tangan dalam urusan pemilihan pelantikan pemaju bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, sebaliknya pemaju terbabit telah dipilih dan dilantik sendiri oleh penduduk.
“Penduduk yang bersetuju untuk membangunkan semula Kampung Sungai Baru telah menubuhkan sebuah persatuan pada 2010 yang dinamakan sebagai Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru sebagai usaha untuk menggerakkan pembangunan semula kawasan tersebut yang melibatkan 328 unit hartanah iaitu 264 unit flat dan 64 unit rumah teres.
“Persatuan tersebut jugalah yang menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Ritzy Gloss Sdn Bhd, yang kemudiannya diambil alih oleh Suez Capital Sdn Bhd pada 2016,” katanya.
Dr Zaliha berkata walaupun terdapat pihak yang membangkitkan isu bahawa syarikat berkenaan berasal dari Singapura, dakwaan itu adalah tidak berasas kerana semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan ia dimiliki sepenuhnya oleh warganegara Malaysia.
“Sejak penubuhan Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru 15 tahun yang lepas hingga kini, seramai empat Pengerusi telah menerajui persatuan ini, dan kesemua mereka adalah pemilik unit teres,” katanya.
Pada 11 Sept lepas, suasana tegang tercetus di Kampung Sungai Baru selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing.
Isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru melibatkan 67 rumah teres dan 14 blok pangsapuri yang dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.
-- BERNAMA