ad

MBPJ jadi PBT pertama laksana pelan tindakan ekonomi penjagaan, perkukuh kesejahteraan komuniti

9 Okt 2025, 6:39 AM
MBPJ jadi PBT pertama laksana pelan tindakan ekonomi penjagaan, perkukuh kesejahteraan komuniti
MBPJ jadi PBT pertama laksana pelan tindakan ekonomi penjagaan, perkukuh kesejahteraan komuniti
MBPJ jadi PBT pertama laksana pelan tindakan ekonomi penjagaan, perkukuh kesejahteraan komuniti

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dipilih menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang melaksanakan pelan tindakan ekonomi penjagaan.

Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata pelan bagi menyokong Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024–2030 relevan dilaksanakan kerana Petaling Jaya memiliki populasi mencecah lebih 2.3 juta, sekali gus menjadi antara kawasan padat dan membangun.

Dengan situasi berkenaan, bandar itu berdepan realiti menanggung beban sosial dan ekonomi penjagaan tinggi merangkumi perkhidmatan untuk kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU).

“Usaha membina satu ekosistem penjagaan yang tersusun, responsif dan mampan. Ini bukanlah sekadar pilihan tetapi satu keperluan mendesak bagi menjaga kesejahteraan warganya.

“Menerusi pelan ini, Petaling Jaya berhasrat menjadi bandar penjagaan inklusif kepada semua individu tanpa mengira umur, jantina atau keupayaan. Semua mendapat sokongan dan peluang untuk hidup bermaruah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Rangkaian Penjagaan Selangor dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor hari ini.

Mohamad Zahri berkata MBPJ turut memperkenalkan inisiatif komuniti berasaskan kasih sayang dan kesejahteraan ‘PJ Food with Love’, yang menjadi antara pelengkap agenda terbabit.

Program telah dilancar Jun lalu dengan menyalurkan makanan sihat dan berkualiti kepada warga emas yang tinggal bersendirian, disertai pantauan kesihatan, sokongan emosi serta kemudahan butang kecemasan.

“PJ Food With Love ini menjadi simbol ekonomi penjagaan yang hidup dan berperikemanusiaan, mempraktikkan nilai kasih sayang, peduli dan ihsan dalam bentuk tindakan nyata di peringkat komuniti bandar,” katanya.

Pada November tahun lalu, Selangor melancarkan DEPNS sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

Dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Ia akan menumpu kepada aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.