SHAH ALAM, 9 OKT: Tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dihukum Persekutuan Bolasepak Antarabangasa (FIFA), mematuhi semua syarat taraf kewarganegaraan mengikut ketetapan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata permohonan semua pemain tersebut mengikut jalur Perkara 19 dan Seksyen 20(1)(c) di mana menteri boleh menggunakan kuasa budi bicara.
"Tujuh pemain ini mematuhi tiga rukun ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan iaitu pemohon perlu mohon sendiri (tanpa guna ejen), perlu berkelakuan baik dan pemastautin serta pemahaman Bahasa Melayu yang mencukupi.
Permohonan juga diproses melalui Kaedah Warganegara 1964 dan FIFA Statutes. Prosesnya cukup teliti dan hal kelayakan mereka dengan FIFA adalah urusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan FIFA,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) berhubung statistik pemain dinaturalisasikan sejak 2018 serta kelayakan dan kriteria digunakan kerajaan atau FAM dalam proses penentuan pemain untuk dinaturalisasikan.
Kelmarin, FIFA mendedahkan butiran penuh keputusan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.
Tujuh pemain itu adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel.
Susulan itu, FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.