ad

Selangor perkukuh kerjasama domestik pacu pertumbuhan industri aeroangkasa

9 Okt 2025, 4:29 AM
Selangor perkukuh kerjasama domestik pacu pertumbuhan industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Selangor sedang memperkukuh kerjasama dengan negeri-negeri jiran bagi mempercepat pertumbuhan industri aeroangkasa negara, dengan tumpuan kepada kesiapsiagaan kewangan dan pembangunan bakat berasaskan inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Aviation and Technology Innovation (Selati), Zannifa Azura Ahmad, berkata bahawa kemampanan kewangan adalah kunci utama untuk menyokong pelaburan jangka panjang dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan — sektor yang dikenali dengan keperluan modal besar tetapi menawarkan pulangan yang tinggi.

“Tidak kira betapa banyak promosi dilakukan, kalau tiada kesiapsiagaan kewangan, ia tidak akan berganjak,” katanya semasa Forum Kepimpinan Serantau dalam Pertumbuhan Industri dan Aeroangkasa di Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC), yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Aviation and Technology Innovation (Selati), Zannifa Azura Ahmad.

“Itulah sebabnya, bagi sektor aeroangkasa Selangor, kami sedang bekerjasama dengan salah satu institusi kewangan di bawah kerangka kemampanan kewangan untuk memberi jaminan kepada negeri,” katanya lagi.

Zannifa berkata, kerangka tersebut akan membolehkan Selangor bersaing dengan lebih berkesan pada peringkat nasional dan serantau.

Tentang pembangunan bakat, beliau berkata tumpuan Selangor yang seterusnya akan diberikan kepada teknologi, inovasi, kecerdasan buatan (AI), dan pendigitalan, yang akan disokong oleh instrumen kewangan baharu untuk mereka dalam industri.

“Ini didorong oleh industri, dan kita tidak mendiskriminasi pemain tempatan… Kita mahu mereka terus maju.

“Kita tidak mahu lagi terikat dengan sempadan fizikal. Apa sahaja yang kita usahakan di Selangor boleh juga diperluaskan ke Negeri Sembilan dan Melaka. Jika pemikiran anda hanya terhad dalam sempadan negeri, ia tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Pengarah Bahagian Teknologi Pengangkutan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Noor Suziyanti Saad.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Teknologi Pengangkutan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Noor Suziyanti Saad, berkata bahawa pertumbuhan industri aeroangkasa Malaysia dipandu oleh Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia serta Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), di mana aeroangkasa dikenal pasti sebagai salah satu sektor utama.

Beliau berkata para pelabur sedang mencari kemudahan kerajaan daripada segi pembiayaan, terutamanya bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat tempatan.

“Berdasarkan perbincangan kami dengan syarikat dan pelabur, salah satu perkara utama yang mereka perlukan ialah fasilitasi kerajaan dari segi pembiayaan. Ini khususnya bagi bahagian R&D dan pembangunan bakat tempatan,” katanya.

Bagi menangani isu ini, MIDA menawarkan insentif cukai, elaun pelaburan, dan geran di bawah pelbagai pelan pembangunan nasional. Walaubagaimanapun, Suziyanti mengakui bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi cabaran kerana kebanyakan geran adalah berasaskan bayaran balik (reimbursement), dan ini menjadikan pembiayaan awal sukar diperoleh.

Beliau berkata, pembiayaan alternatif melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) boleh membantu mengurangkan jurang tersebut, di samping menggalakkan konglomerat tempatan seperti DRB-Hicom untuk melabur semula dalam sektor ini bagi meningkatkan penyertaan tempatan.

Tambah beliau, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka akan saling melengkapi antara satu sama lain, dengan Selangor memberi tumpuan kepada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), sementara dua negeri lagi memperkukuh pembuatan komponen bagi mengurangkan defisit dagangan industri.

“Ekosistem ini bukan sahaja merangkumi aktiviti aeroangkasa secara langsung, tetapi juga industri sokongan seperti jentera, peralatan dan semikonduktor. Kebanyakan cip semikonduktor kami digunakan dalam sensor dan avionik. Bidang yang boleh kami terus memperkembangkan,” katanya.

Suziyanti meluahkan harapan agar menjelang tahun 2030, industri aeroangkasa Malaysia akan menjadi setanding dan sekompetitif sektor semikonduktor negara dan didorong oleh inovasi, sokongan pembiayaan dan pembangunan bakat tempatan.