WASHINGTON, 9 OKT: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas telah mempersetujui fasa pertama pelan damai Gaza yang diusulkan oleh AS, lapor Anadolu Ajansi.
"Saya sangat berbangga untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas, kedua-duanya telah mempersetujui Fasa Pertama pelan damai kami.
"Ini bermakna semua tawanan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan mengundurkan tentera mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kukuh, tahan lama dan berkekalan," kata Trump di platform Truth Social miliknya.
Beliau berkata semua pihak akan “dilayan dengan adil”.
Presiden itu menyifatkan detik bersejarah berkenaan sebagai "hari yang hebat" untuk dunia Arab dan Islam, Israel, negara-negara jiran dan AS.
Trump turut mengucapkan terima kasih kepada semua pengantara, termasuk Turkiye, "yang bekerjasama dengan kami untuk merealisasikan peristiwa bersejarah dan julung kali ini."
Terdahulu, Trump berkata beliau mungkin akan ke Mesir hujung minggu ini memandangkan rundingan untuk gencatan senjata di Gaza menunjukkan tanda-tanda kemajuan.
"Saya mungkin akan ke sana sekitar penghujung minggu ini, mungkin pada Ahad," katanya kepada pemberita, sambil menyatakan terdapat "peluang yang sangat baik" untuk kemajuan dalam rundingan itu.
"Saya baru sahaja menerima nota daripada Setiausaha Negara (Marco Rubio) yang menyatakan bahawa kita sangat hampir dengan satu perjanjian di Timur Tengah, dan mereka akan memerlukan saya dengan segera," katanya.
Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas telah berlangsung di Mesir sejak Isnin bagi membincangkan pelan Trump untuk menamatkan konflik itu.
Menurut saluran berita kendalian kerajaan Al-Qahera News, selain Utusan Khas AS Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner, senarai peserta termasuk ketua perisikan Turkiye Ibrahim Kalin, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Ketua Perisikan Mesir Hassan Rashad dan Menteri Hal Ehwal Strategik Israel Ron Dermer.
Pelan 20 perkara itu, yang diumumkan pada 29 Sept, merangkumi pembebasan tawanan Israel di Gaza, gencatan senjata dan pelucutan senjata Hamas. Kumpulan Palestin itu telah bersetuju secara prinsip terhadap pelan berkenaan.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah membunuh hampir 67,200 rakyat Palestin di wilayah itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menjadikannya tidak boleh didiami.
-- BERNAMA-ANADOLU