ad

Selangor perkukuh peranan sebagai gerbang ASEAN, simbol keterbukaan dan perpaduan

9 Okt 2025, 12:22 AM
Selangor perkukuh peranan sebagai gerbang ASEAN, simbol keterbukaan dan perpaduan
Selangor perkukuh peranan sebagai gerbang ASEAN, simbol keterbukaan dan perpaduan

PETALING JAYA, 9 OKT: Selangor kekal komited menjadi gerbang utama ke ASEAN dengan mendukung semangat keterbukaan dan perpaduan demi kemajuan bersama rantau ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata kedudukan strategik negeri itu sebagai pintu masuk utama ke rantau ASEAN perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh hubungan ekonomi, sosial dan budaya antara negara anggota.

“Selangor benar-benar percaya ia ialah Gateway to ASEAN, namun itu tidak bermaksud kami tidak mahu melihat kejayaan jiran-jiran kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Mesyuarat ke-34 Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) di Sunway Resort Hotel, malam ini.

Amirudin menegaskan bahawa keterbukaan dan semangat serantau yang menjadi asas kepada ASEAN harus dilihat melangkaui sempadan geografi, mencerminkan rantau yang bersatu dalam kepelbagaian.

“Sesiapa yang datang ke Selangor tidak seharusnya mengehadkan pandangan hanya dari Sabak Bernam di utara hingga ke Sepang di selatan.

“Mereka juga perlu melihat Hanoi dan Surabaya, Mandalay dan Cebu, Chiang Mai dan Siem Reap, Kuala Belait dan Savannakhet sebagai peluang untuk meneroka budaya dan mengembangkan perniagaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan ASEAN mampu menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana masyarakat pelbagai latar belakang mampu hidup aman dan harmoni berasaskan nilai-nilai sendiri tanpa perlu bergantung kepada campur tangan luar.

“Kita tidak perlukan pihak luar untuk mengajar kita cara hidup, khususnya setelah kita menyaksikan jurang besar antara apa yang mereka khabarkan dan apa yang mereka amalkan, yang nyata bertentangan dengan nilai moral,” katanya.

Menurut Amirudin, kekuatan ASEAN terletak pada solidariti dan persefahaman yang terjalin sejak berabad lamanya dan perlu terus diperkukuh oleh generasi baharu bagi memastikan rantau ini kekal stabil, makmur dan berdaya tahan.

“Itulah keunikan yang dikongsi oleh Selangor dan Asia Tenggara, satu himpunan manusia daripada pelbagai kepercayaan dan budaya yang bersatu dengan matlamat bersama untuk menyalakan obor kosmopolitanisme agar terus menyala dan hidup subur,” katanya.

Majlis makan malam itu diadakan sempena Mesyuarat ke-34 Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) dan Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai Kanan ASCC (SOCA) ke-39 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway bermula semalam.

Mesyuarat berkenaan menjadi platform penting bagi negara anggota ASEAN membincangkan isu-isu sosiobudaya serantau, selain memperkukuh agenda berteraskan rakyat melalui perkongsian nilai dan warisan budaya.