KUALA LUMPUR, 8 OKT: Kerajaan negeri Selangor menyasarkan 100 peratus liputan rangkaian 5G dalam kawasan berpenduduk negeri itu pada awal tahun depan, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Sasaran baharu itu dibuat susulan berlakunya kelewatan pelancaran rangkaian 5G baharu daripada U Mobile Sdn Bhd.
Berdasarkan data daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohammad Fahmi berkata Selangor mencapai kadar liputan 5G sebanyak 96.9 peratus setakat akhir Ogos lepas.
"Kalau dahulu, hanya Digital Nasional Bhd (DNB) menyediakan infrastruktur untuk mengupayakan (rangkaian) 5G, sekarang ada penyedia yang kedua. Jadi, semestinya berlaku penyelarasan dan rundingan (antara U Mobile dengan DNB) untuk mengelakkan pertindanan kos pembangunan dan kawasan liputan.
"Isu-isu pemilikan tapak-tapak menara telekomunikasi yang baharu juga akan memakan sedikit masa (sasaran 100 peratus rangkaian 5G)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Taman Perindustrian Berteraskan IoT (IEIP) di sini hari ini.
Kerajaan negeri Selangor secara rasmi melancarkan program utama IEIP iaitu satu inisiatif strategik yang dirangka untuk mengubah landskap perindustrian negeri ini menjadi ekosistem pintar, lestari dan kalis masa hadapan.
Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab perindustrian dan digital terkemuka di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, ia berkata pelancaran ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerangka perubahan digital dan ekonomi Selangor yang lebih luas, diterajui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan anak syarikat infrastruktur digitalnya, Smartsel Sdn Bhd (SMARTSEL).
“Program IEIP menggariskan pelan tindakan yang tersusun dengan mengenal pasti 17 taman perindustrian utama di seluruh Selangor apabila 70 peratus daripadanya dinilai bersedia untuk maju ke peringkat pembangunan pertengahan atau lanjutan yang menggunakan internet pelbagai benda (IoT).
“Taman-taman perindustrian ini akan dilengkapi dengan teknologi IoT, sambungan 5G, sistem kecerdasan buatan serta infrastruktur utiliti pintar bagi menyokong industri bernilai tinggi dan membolehkan operasi automasi yang mampan,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Fahmi berkata kerajaan negeri berhasrat untuk membawa masuk pemain industri yang banyak menggunakan teknologi automasi dan robotik bagi menjayakan program IEIP.
Sehubungan itu, katanya penggunaan teknologi perhubungan seperti rangkaian 5G yang lebih pantas amat diperlukan bagi membolehkan robot-robot dalam kilang untuk berinteraksi sesama sendiri tanpa gangguan selain mengelakkan daripada digodam oleh pihak lain.
"Seperti kita sudah lihat masalah sebelum, apabila berlakunya wabak Covid-19, kilang-kilang (beroperasi dengan tenaga manusia) terpaksa ditutup, jadi pengeluaran terhenti dan akan menjejaskan produktiviti ekonomi negeri Selangor.
"Kalau kilang-kilang menggunakan robot, maka kilang boleh beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu tanpa gangguan," katanya.